Wednesday, 28 August 2013

KEM SUKAN SEKOLAH 1 MURID 1 SUKAN 2013


27 Ogos 2013 (Selasa) - Pada hari ini, pihak sekolah telah menganjurkan program Kem Sukan Sekolah 1 Murid 1 Sukan. Kem ini disertai oleh seramai 42 orang murid dari Tahun 3, 4, 5 & 6. 

 
Program bermula pada jam 0800 pagi dengan ucapan perasmian oleh Yang Berusaha En Awang Jolkipali Awang Seriee, Guru Besar SKKS. Dalam ucapan beliau, beliau telah menyentuh tentang kepentingan program '1 Murid 1 Sukan' dalam melahirkan murid yang mempunyai jasmani yang sempurna dan ideal. Beliau juga memuji pihak guru-guru yang telah berhempas pulas dalam menjayakan kem pada hari ini. 
 


Setelah berucap, tuan guru besar telah berbesar hati melontar dart ke arah belon yang digantung di tepi skrin sebagai tanda simbolik bermulanya kem tersebut.


Setelah penyempurnaan gimik perasmian, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, En Jovinus Ahjam mengambil tempat di hadapan bagi menyampaikan taklimat perjalanan program kem tersebut. 


Pengisian kem dimulakan dengan slot ceramah 1 yang disampaikan oleh En Abdul Halim Muazzam Shah. Beliau menyampaikan ceramah tentang sukan futsal. Antara input yang disampaikan beliau ialah sejarah futsal, tokoh-tokoh di dalam sukan futsal, undang-undang serta peraturan di dalam sukan futsal.

Setelah mendengar ceramah, peserta-peserta kem turun beramai-ramai ke bawah (kawasan hadapan kuarters guru) bagi sesi demonstrasi futsal. 


Selepas waktu rehat, slot ceramah 2 pula diadakan. En Richmond Suip telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang permainan bola baling. Antara perkara yang disampaikan beliau ialah sejarah bola baling, undang-undang, jenis perlawanan dan kemahiran-kemahiran yang perlu ada untuk bermain bola baling. 

 
Selepas menyampaikan ceramah, En Richmond bersama peserta-peserta yang lain telah turun ke bawah bagi sesi demonstrasi bola baling. 


Majlis penutup kem telah diadakan di kelas prasekolah. Penolong Kanan 1, En Barnabas Tanggai telah sudi menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada semua peserta kem. 


Penolong Kanan HEM, En Harding Katok pula telah sudi menyampaikan hadiah peserta terbaik iaitu adik Pamela Audrey (perempuan) dan adik Mazer Maclister (lelaki). 

 
Sebelum bersurai, guru-guru dan peserta-peserta kem telah bersama-sama menikmati juadah makan tengahari yang disediakan bersama-sama oleh En Fradi Lingas, Cik Rhona Gudem dan Puan Rendong Uning.     

Saturday, 24 August 2013

PERTANDINGAN MEWARNA JALUR GEMILANG & KUIZ KEMERDEKAAN 2013



24 Ogos 2013 (Sabtu) - Sempena hari ganti persekolahan pada hari ini, pihak sekolah telah menganjurkan Pertandingan Mewarna Jalur Gemilang dan Kuiz Kemerdekaan. Kedua-dua aktiviti tersebut merupakan sebahagian dari acara sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.


Acara dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Penolong Kanan Ko-Kurikulum, En Jovinus Ahjam. Tepat pada jam 8.30 pagi, murid-murid memulakan aktiviti mewarna Jalur Gemilang. 



 


Murid-murid kelihatan tekun dan penuh konsentrasi dalam menyiapkan hasil warnaan mereka. Beberapa orang guru kelihatan memberi tunjuk ajar kepada murid-murid tentang bagaimana menghasilkan warnaan Jalur Gemilang yang cantik dan sempuna. Sesi mewarna diceriakan lagi dengan alunan lagu-lagu patriotik yang dipasang melalui sistem siaraya prasekolah.

Pada jam 10.00 pagi pula, Kuiz Kemerdekaan pula diadakan. Murid-murid dikumpulkan mengikut rumah sukan masing-masing. En Abdul Halim dan En James Jota memainkan peranan sebagai penanya soalan manakala Cik Emily Uncho pula berperanan sebagai penulis markah.

Murid-murid begitu bersemangat semasa menjawab soalan-soalan yang diajukan kepada mereka. Semangat untuk mendapatkan markah bagi rumah sukan mereka sangat mengujakan.

Pada jam 11.30 pagi pula, majlis penyampaian hadiah diadakan. Keputusan bagi Pertandingan Mewarna Jalur Gemilang adalah seperti berikut:


                                                           Prasekolah: Tiffany Elgeren
                                                           Tahun 1: Ediwin Bartino Barnabas
                                                           Tahun 2: Nezelly Nelson     
                                                           Tahun 3: Aleyciana Andrew
                                                           Tahun 4: Angela Merici
                                                           Tahun 5: Okyverson Nelson
                                                           Tahun 6: James Macker Linot


Bagi Kuiz Kemerdekaan pula, Johan disandang oleh Rumah Merah yang berjaya memungut 19 markah.

Penganjuran kedua-dua aktiviti ini diharap dapat meningkatkan lagi perasaan cinta kepada negara melalui pemahaman terhadap simbolisme yang terdapat pada Jalur Gemilang.

Wednesday, 21 August 2013

SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN 2013


21 Ogos 2013 (Rabu) - Majlis pelancaran sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah telah selamat diadakan bermula pada jam 8.00 pagi. 

 
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan 'Negaraku', lagu kebesaran negeri 'Ibu Pertiwiku' dan lagu sekolah 'Bersatu Tuju Wawasan'. 


Ini diikuti dengan ucapan perasmian oleh Penolong Kanan Ko-Kurikulum, En Jovinus Ahjam, mewakili guru besar yang tidak dapat bersama kerana menghadiri mesyuarat di Serian. Di dalam ucapan beliau, beliau telah menyentuh tentang kepentingan rasa cinta terhadap negara. Perasaan ini dapat disemai di dalam jiwa murid-murid melalui nyanyian lagu-lagu patriotik dan kempen mengibar jalur gemilang.


Selepas berucap, beliau telah mengibarkan sehelai Jalur Gemilang di hadapan kuarters guru sebagai simbolik bermulanya sambutan bulan kemerdekaan peringkat SKKS. Murid-murid dan guru-guru kemudiannya bekerjasama menegakkan beberapa Jalur Gemilang dan bendera negeri di sepanjang tangga menuju ke atas blok-blok pentadbiran dan akademik. Proses menegakkan bendera-bendera selesai pada pukul 9.00 pagi. Murid-murid dan guru-guru kemudiannya bergerak kembali ke kelas untuk menyambung proses P&P.


 

Friday, 2 August 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1434 HIJRAH & SELAMAT BERCUTI SEKOLAH



3 Ogos 2013 (Sabtu) - Mulai hari ini, warga SK Kujang Sain akan mula bercuti kerana 5 Ogos (Isnin) adalah hari cuti peristiwa manakala 6 Ogos (Selasa) adalah hari cuti berganti (akan diganti pada 24 Ogos). Warga SK Kujang Sain akan mula bersekolah semula pada 19 Ogos 2013 (Isnin).

Sehubungan itu, pihak pengurusan dan seluruh warga SK Kujang Sain ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri' kepada semua warga SKKS yang beragama Islam.