Sunday, 28 September 2014

KEM SIAP-SIAGA SAINS UPSR 2014


28 September 2014 (Ahad) - Panitia Sains SK Kujang Sain telah menganjurkan program Kem Siap-Siaga Sains UPSR 2014 bermula dari 26 September dan berakhir pada 28 September. Program tersebut diadakan di dua buah tempat yang berbeza. Tempat pertama ialah di Hotel Place2Stay@Riverside (Jalan Green Hill, Kuching) yang dijadikan tempat tinggal peserta. Tempat kedua pula ialah di perkarangan Damai Sentral (Pantai Damai, Santubong) yang menjadi tempat slot penyampaian input dan aktiviti menjawab soalan-soalan UPSR 2010 hingga 2013. Program tersebut diadakan sebagai program pecutan terakhir bagi menyediakan calon-calon UPSR SKKS untuk menjawab kertas Sains 018 yang akan diadakan pada 30 September hadapan.

Peserta-peserta dan guru pengiring iaitu Ketua Panitia Sains SKKS sendiri iaitu En Risharry Mohd Ramli mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah pada jam 12.00 tengahari. Mereka tiba di Hotel Place2Stay@Riverside pada jam 2.00 petang. Setelah daftar masuk, murid-murid dibahagikan kepada dua buah bilik. 


Pada sebelah malamnya iaitu pada pukul 7.30 malam, peserta-peserta kem telah dijamu dengan makan malam secara buffet iaitu di Restoran Anuar Steambot, Persiaran Ban Hock.


Slot pertama bermula pada pada pukul 8.00 malam iaitu Slot Motivasi I yang dikendalikan sendiri oleh En Risharry. Setelah tamat slot tersebut, murid-murid kembali ke bilik masing-masing untuk pengurusan diri dan tidur.



Pada keesokan harinya, iaitu pada pukul 7.30 pagi, peserta-peserta kem mula bergerak ke Damai Sentral bagi Slot Dinamika I, Dinamika II, Dinamika III dan Dinamika IV. 

Dinamika I dijalankan bermula pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 10.00 pagi. Dalam slot ini, murid-murid telah cuba menjawab kertas soalan Sains UPSR 2010.  Setelah habis menjawab, kertas tersebut telah disemak oleh En Risharry. Markah yang diperolehi oleh murid-murid ialah seperti berikut: Bastian: 60%(B), Nelson: 78%(B), Okyverson: 86%(A), Sylvia: 38%(D), Yolanda: 42%(C).


Dinamika II dijalankan bermula pukul 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 11.30 pagi. Dalam slot ini, murid-murid telah cuba menjawab kertas soalan Sains UPSR 2011.  Setelah habis menjawab, kertas tersebut telah disemak oleh En Risharry. Markah yang diperolehi oleh murid-murid ialah seperti berikut: Bastian: 54%(C), Nelson: 80%(A), Okyverson: 84%(A), Sylvia: 38%(D), Yolanda: 24%(D).

Dinamika III dijalankan bermula pukul 11.30 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 petang. Dalam slot ini, murid-murid telah cuba menjawab kertas soalan Sains UPSR 2012.  Setelah habis menjawab, kertas tersebut telah disemak oleh En Risharry. Markah yang diperolehi oleh murid-murid ialah seperti berikut: Bastian: 30%(D), Nelson: 38%(D), Okyverson: 60%(B), Sylvia: 38%(D), Yolanda: 38%(D).


Dinamika IV dijalankan bermula pukul 1.30 petang dan berakhir pada pukul 3.00 petang. Dalam slot ini, murid-murid telah cuba menjawab kertas soalan Sains UPSR 2013.  Setelah habis menjawab, kertas tersebut telah disemak oleh En Risharry. Markah yang diperolehi oleh murid-murid ialah seperti berikut: Bastian: 38%(D), Nelson: 76%(B), Okyverson: 90%(A), Sylvia: 42%(C), Yolanda: 46%(C).

Setelah tamat slot Dinamika IV, peserta-peserta dan guru pengiring mengambil kesempatan bersiar-siar di persekitaran Damai Sentral dan Pantai Damai bagi menikmati pemandangan yang indah dan udara yang nyaman. Peserta-peserta dan guru pengiring meninggalkan Damai Sentral pada pukul 4.00 petang.

Pada sebelah malamnya iaitu pada pukul 7.30 malam, peserta-peserta kem telah menikmati makan malam di Restoran SCR, Kompleks Islam Sarawak di Jalan P.Ramlee.

 
Pada pukul 9.00 malam pula, peserta-peserta telah menyertai pula Slot Motivasi II yang masih dikendalikan oleh En Risharry Mohd Ramli. Setelah tamat slot tersebut, murid-murid kembali ke bilik mereka untuk pengurusan diri dan tidur.


Pada hari Ahad, peserta-peserta mengemaskan barang-barang mereka dan mendaftar keluar dari bilik masing-masing. Peserta-peserta kem dan guru pengiring bergerak meninggalkan hotel penginapan mereka pada pukul 10.00 pagi dan tiba di SK Kujang Sain pada pukul 1.00 petang.  

Secara keseluruhannya, program ini dianggap berjaya kerana dapat meningkatkan pencapaian murid-murid yang lemah dari gred D ke gred C, bermula dari semasa mereka menjawab soalan UPSR 2010 hinggalah ke soalan UPSR 2013. Pihak Panitia Sains SKKS mengharapkan agar kem ini dapat menyediakan mental calon-calon UPSR 2014 untuk menghadapi kertas Sains 018 yang akan dijalankan pada 30 September ini.
 

Thursday, 25 September 2014

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE PUSAT INTERAKTIF SAINS IPG KAMPUS TUN ABDUL RAZAK


24 September 2014 (Rabu) - Panitia Sains SK Kujang Sain telah menganjurkan program Lawatan Sambil Belajar ke Pusat Interaktif Sains IPG Kampus Tun Abdul Razak di Kota Samarahan. Lawatan tersebut disertai oleh seramai 7 orang murid Tahun 5 dan 6 orang murid Tahun 6. En Richmond Suip dan En Risharry Mohd Ramli berperanan sebagai guru pengiring.

Murid-murid dan guru-guru pengiring telah berkumpul di hadapan kuarters seawal jam 7.00 pagi. Rombongan mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah pada jam 7.40 pagi.


Setibanya di perkarangan IPGKTAR, murid-murid dan guru-guru SKKS telah disambut oleh saudara Chia Wei Long, salah seorang guru pelatih di Jabatan Sains IPGKTAR. Beliau seterusnya memperkenalkan diri beliau dan dua orang lagi rakan guru pelatih beliau iaitu saudari Dorina dan saudara Norfirdaus. Peserta-peserta lawatan kemudiannya telah dipecahkan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan akan dikendalikan oleh seorang guru pelatih.

 
Murid-murid kemudiannya dibawa ke  beberapa stesen yang mengandungi bahan bantu mengajar berunsur interaktif di mana murid-murid akan terlibat sama melalui pelbagai aktiviti sains yang menyeronokkan dengan dibimbing oleh guru-guru pelatih.   


Setelah puas berseronok dengan pelbagai aktiviti sains di ruang-ruang pameran di Pusat Interaktif tersebut, guru-guru pelatih kemudiannya membawa murid-murid SKKS ke Taman Etnobotani yang terletak di perkarangan Pusat Interaktif tersebut. Lawatan berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Sesungguhnya lawatan ini telah membuka mata murid-murid SKKS tentang keseronokan proses pembelajaran sains melalui permainan dan aktiviti interaktif. Pihak Panitia Sains SKKS  ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Chia, saudara Norfirdaus dan saudari Dorina kerana sudi meluangkan masa menjadi pembimbing kepada murid-murid SKKS. Adalah diharapkan agar program lawatan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Gambar-gambar sekitar lawatan ke Pusat Interaktif Sains












Monday, 8 September 2014

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR 2014

 
9, 10 & 11 September 2014 - Murid-murid Tahun 6 SKKS akan menduduki peperiksaan UPSR mulai 9 hingga 11 September 2014.


Pihak guru dan pengurusan sekolah ingin mengucapkan selamat berjaya kepada kesemua 6 orang calon UPSR SK Kujang Sain pada tahun ini. Semoga segala penat-lelah dan jerit-perih mereka akan dibayar dengan keputusan UPSR yang cemerlang.

Friday, 5 September 2014

MAJLIS SEMBAHYANG HAJAT PRA-UPSR 2014



5 September 2014 (Jumaat) - Majlis Sembahyang Hajat Pra-UPSR Edisi 2014 telah selamat diadakan di Balai RMT SK Kujang Sain pada hari ini. Majlis tersebut diadakan bagi memohon doa kepada Tuhan Yang Maha Esa supaya calon-calon UPSR SKKS 2014 dapat menduduki peperiksaan tersebut dengan tenang dan selamat seterusnya berjaya mendapat keputusan yang baik.

Kerja-kerja penyediaan juadah hidangan bagi majlis tersebut telah bermula seawal 7.30 pagi. Ibu bapa murid-murid Tahun 6 telah bergotong-royong memotong sayur-sayuran, membersihkan ayam dan seterusnya memasak bahan tersebut kepada juadah-juadah seperti Ayam Pansuh, Ayam Kari dan Telur Kari. Beras yang digunakan bagi majlis tersebut telah disumbangkan oleh ibu-bapa murid-murid sendiri.

Sementara ibu-bapa sibuk di bawah, murid-murid Tahun 6 berada di dalam kelas bagi mendengar ceramah teknik menjawab kertas Matematik UPSR yang disampaikan oleh Pegawai SISC+ (Matematik) dari Pejabat Pendidikan Daerah Serian iaitu Encik Baynard Sawun.


Tepat pukul 10.30 pagi, majlis sembahyang hajat dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh En Risharry Mohd Ramli selaku pengerusi majlis. Ini diikuti pula dengan ucapan oleh Penolong Kanan I iaitu En Barnabas Tanggai. 


Selesai ucapan En Barnabas, pengerusi majlis mempersilakan pula wakil guru iaitu En James Jota bagi menyampaikan amanat dan pesanan guru kepada calon-calon UPSR SKKS. 


Setelah mendengan ucapan dari En James, majlis diteruskan pula dengan upacara sembahyang hajat yang diketuai oleh En Maclister Kalon. Para ibu bapa, guru dan murid kelihatan begitu kusyuk semasa berdoa kepada Tuhan agar hajat masing-masing tercapai.

Tepat pukul 11.00 pagi, para guru, ibu bapa dan murid bersama-sama menjamah makanan yang telah disediakan. Majlis bersurai pada pukul 11.30 pagi.

Gambar-gambar sekitar perjalanan majlis