Sunday 17 November 2013

TAMAT PENGGAL PERSEKOLAHAN SESI 2013......SELAMAT BERCUTI!


15 November 2013 (Jumaat) - Hari ini merupakan hari terakhir penggal persekolahan sesi 2013. Blogger ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan guru dan staf sokongan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi membolehkan blog sekolah kita dipenuhi dengan pelbagai post berkaitan segala aktiviti dan program anjuran sekolah.

Terima kasih juga kepada murid-murid yang telah menyokong blogger dengan memberikan input-input berguna bagi menambah baik persembahan blog ini.

Semoga pada sesi persekolahan 2014, lebih banyak post dapat diletakkan di dalam blog sekolah kita supaya pihak-pihak luar dapat membaca dan mengetahui segala aktiviti sekolah.

Akhir kata....

SK KUJANG SAIN BOLEH MAJU!......................SK KUJANG SAIN CAN SUCCEED!

Selamat bercuti......  

KEPUTUSAN UPSR 2013

 
14 November 2013 (Khamis) - Keputusan UPSR 2013 telah diumumkan pada hari ini. Guru Besar, En Awang Jolkipali Awang Seriee telah mengambil keputusan tersebut di Balai Masyarakat Serian. Calon-calon UPSR telah mengambil slip keputusan mereka di Balai RMT sejurus selepas tamat majlis penyampaian hadiah & sijil.

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH & SIJIL SKKS 2013




14 November 2013 (Khamis) - Majlis Penyampaian Hadiah & Sijil 2013 SKKS telah diadakan di Balai Raya Kampung Kujang Sain. Majlis tersebut merupakan program kemuncak mengikut takwim persekolahan 2013. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh secara bersama oleh En Chakam Mawi, Ketua Kampung Kujang Sain dan En Disep Nitin, Yang diPertua PIBG SKKS.

Majlis bermula dengan ketibaan En Chakam Mawi, Ketua Kampung Kujang Sain dan En Disep Nitin, Yang diPertua PIBG SKKS ke balai raya. Kedua-dua tetamu tersebut disambut oleh En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I SKKS dan En Risharry Mohd Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Hari Penyampaian Hadiah & Sijil SKKS 2013.


Bacaan doa bagi memberkati majlis telah diketuai oleh adik Swelan Ambros Nelson. Adik Swelan merupakan seorang pengawas dari kelas Tahun 6.


Selesai bacaan doa, para tetamu, guru dan murid bersama-sama berdiri tegak bagi menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku'.

Slot ucapan alu-aluan telah dimulakan oleh En Risharry Mohd Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Hari Penyampaian Hadiah & Sijil SKKS 2013. Dalam ucapannya, beliau telah menyentuh tentang peri pentingnya kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam menjayakan semua agenda sekolah yang sudah tentu bertujuan untuk meningkatkan lagi pencapaian akademik anak-anak murid SKKS. Beliau juga telah menyentuh tentang objektif mengadakan majlis tersebut iaitu bagi menunjukkan penghargaan kepada murid-murid yang telah berjaya mencapai keputusan akademik yang baik dan juga bagi menghargai murid-murid yang telah mencapai kejayaan semasa mewakili sekolah dalam apa-apa acara baik di peringkat zon mahupun daerah.


Ucapan dari En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I SKKS pula mengambil tempat selepas ucapan En Risharry. Dalam ucapannya, beliau telah memohon maaf bagi pihak guru besar kerana tidak dapat bersama-sama di dalam majlis tersebut kerana terpaksa berada di Balai Masyarakat Serian bagi mengambil keputusan UPSR. En Barnabas di dalam ucapannya telah mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa di atas kerjasama yang diberikan kepada pihak sekolah sepanjang sesi persekolahan 2013.


Ucapan perasmian pula telah disampaikan oleh En Disep Nitin, Yang diPertua PIBG SKKS. Beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada guru-guru kerana telah berhempas pulas mendidik murid-murid di SKKS sehingga mereka berada di tahap pencapaian akademik yang boleh dibanggakan. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah menyumbangkan 30 unit notebook 1 Malaysia kepada pihak sekolah. Beliau mengharapkan agar notebook 1 Malaysia itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin oleh pihak sekolah.


Selesai menyampaikan ucapan, En Disep Nitin, Yang diPertua PIBG SKKS bersama-sama En Chakam Mawi, Ketua Kampung Kujang Sain telah bersama-sama memalu gong sebanyak 3 kali bagi menandakan bermulanya Majlis Penyampaian Hadiah & Sijil SKKS Edisi 2013.

 
Sebagai tanda kenang-kenangan, En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I mewakili En Awang Jolkipali Awang Seriee, Guru Besar SKKS telah berkesudian untuk menyampaikan sebuah cenderamata kepada En Disep Nitin, Yang diPertua PIBG SKKS sebagai tanda terima kasih atas kesudian beliau merasmikan majlis tersebut.


Majlis diteruskan lagi dengan persembahan tarian tradisional rakyat Kelantan iaitu Tarian Asyik oleh ahli-ahli Kelab kebudayaan SKKS.

Selesai persembahan, slot penyampaian hadiah dimulakan dengan penyampaian hadiah bagi kategori-kategori berikut. Hadiah disampaikan oleh En Disep Nitin.

KEDUDUKAN TERBAIK DALAM KELAS









PENCAPAIAN TERBAIK DALAM MATA PELAJARAN TERAS







PENCAPAIAN TERBAIK LULUS PENUH DALAM SEMUA MATA PELAJARAN TERAS







HADIAH GALAKAN PENINGKATAN PRESTASI


HADIAH PENGHARGAAN KEDATANGAN 100% SEPANJANG TAHUN



HADIAH KO-KURIKULUM TERBAIK


Setelah selesai penyampaian hadiah sesi pertama, para tetamu telah dihidangkan dengan sebuah tayangan video 'SKKS Sepanjang 2013...'. Tayangan video tersebut telah merumuskan segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang sesi persekolahan 2013.

Sesi kedua pula diteruskan dengan penyampaian hadiah-hadiah dan sijil-sijil dalam pelbagai kategori.


SIJIL NILAM 
SIJIL PEKA SAINS
SIJIL KELAB KEBUDAYAAN
SIJIL KO-KURIKULUM
SIJIL MEWAKILI SEKOLAH DALAM SUKAN & KO-KURIKULUM 2013


SIJIL TAMAT PRASEKOLAH
HADIAH GALAKAN PRASEKOLAH



Tayangan video yang kedua pula bertajuk 'Lawatan Ke Bandaraya Kuching Pasca UPSR 2013'. Video tersebut memaparkan tentang aktiviti-aktiviti yang berjalan semasa program lawatan murid tahun 6 ke Bandaraya Kuching pada 11 dan 12 Oktober yang lalu.

Selesai tayangan video, bermulalah pula slot cabutan bertuah. Para tetamu yang bertuah telah menerima pelbagai hadiah sumbangan guru-guru dan pelbagai syarikat di sekitar Tebedu dan Serian.

Majlis ditangguhkan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri 'Ibu Pertiwiku'.

Dapatlah dirumuskan bahawa majlis ini telah berjalan lancar hasil koordinasi guru-guru dan staf-staf sokongan SKKS. Murid-murid dan guru-guru sememangnya merasa teruja dengan kejayaan majlis ini dalam menghargai sumbangan warga SKKS dalam memastikan SKKS menjadi peneraju sekolah pedalaman cemerlang di daerah Serian menjelang tahun 2016.

GAMBAR-GAMBAR DI SEKITAR MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH & SIJIL SKKS 2013













Monday 11 November 2013

PROGRAM RANCANGAN INTERGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP 2013)

 
11 November 2013 (Isnin) - Unit Hal-Ehwal Murid (HEM) SK Kujang Sain telah menganjurkan program Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP 2013) bertempat di tapak perhimpunan sekolah. 

 
Program ini telah dimulakan tepat pada jam 8.00 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis iaitu En Risharry Mohd Ramli. Kemudian En Awang Jolkipali Awang Seriee, Guru Besar SK Kujang Sain pula menyampaikan ucapan beliau.


En Disep Nitin, Yang diPertua Persatuan Ibu Bapa & Guru SKKS menyampaikan ucapan beliau dan seterusnya merasmikan program RIMUP Edisi 2013 ini.

 
Acara diteruskan lagi dengan slot senamrobik yang diketuai oleh Cik Emily Uncho. Murid-murid kelihatan seronok mengikuti setiap gerak-langkah yang didemonstrasikan oleh Cik Emily. 

 
Setelah selesai senmarobik, acara sukaneka pula mengambil tempat di dalam aturcara program. Slot sukaneka ini diketuai oleh En Jovinus Ahjam, Penolong Kanan Ko-Kurikulum (Dalaman). Murid-murid mengambil bahagian di dalam setiap permainan yang dijalankan semasa slot ini. Semangat dan kerjasama yang ditunjukkan murid-murid dalam memenangkan rumah sukan mereka amat membanggakan. 

 
Selesai sukaneka, murid-murid berehat dengan menikmati juadah yang disediakan oleh kontraktor penyedia makanan RMT.

Selesai berehat, pengisian RIMUP diteruskan lagi dengan perlawanan futsal secara liga antara rumah-rumah sukan. Slot ini dikendalikan oleh En Baynard Sawun.

Tepat jam 11.30 pagi, majlis penutup pula dilangsungkan. Setiap rumah sukan telah diberikan hadiah berupa hamper dimana isinya telah dibahagikan sama rata oleh ketua setiap rumah sukan. En Harding Katok, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (Dalaman) telah menyampaikan sedikit rumusan tentang perjalanan program ini.


Sebelum bersurai, murid-murid dan guru-guru telah bergerak ke prasekolah bagi menikmati makan tengahari yang disediakan pihak sekolah. Murid-murid telah dihidangkan dengan kepak ayam dan sosej yang dibakar. Murid-murid menikmati makanan tersebut dengan sepenuh perasaan.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamatnya iaitu untuk mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti sukaneka dan perlawanan futsal antara rumah-rumah sukan. Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang. 

Gambar-gambar semasa program RIMUP