Monday 3 March 2014

MAJLIS KESYUKURAN & UCAP TAHNIAH EN BAYNARD SAWUN



3 Mac 2014 (Isnin) - Hari ini mencatatkan satu lagi detik gemilang di dalam sejarah SK Kujang Sain apabila salah seorang dari rakan baik blogger, iaitu En Baynard Sawun telah dilantik sebagai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) Matematik (DG 44). Pelantikan ini bermakna beliau akan bertukar stesen bertugas, iaitu dari SK Kujang Sain ke Unit Pengurusan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Serian.

Bagi meraikan kenaikan pangkat beliau, pihak sekolah berbesar hati untuk mengadakan Majlis Kesyukuran & Ucap Tahniah pada hari ini bertempat di Balai RMT.


Majlis dimulakan pada pukul 11.30 pagi dengan para murid dan guru mengambil tempat di Balai RMT. Setelah semua tetamu selesa duduk di kerusi masing-masing, En Risharry Mohd Ramli selaku pengerusi majlis memulakan kata-kata aluannya.


Bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara dan sekolah, para murid, guru dan tetamu jemputan bersama-sama berdiri bagi menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku' dan lagu sekolah 'Bersatu Tuju Wawasan'.

Bagi memohon rahmat Tuhan yang maha esa, majlis mempersilakan adik Okyverson Nelson bagi mengetuai bacaan doa 'Amang Emi'.


Seterusnya adik Adrine Cooler Linot, Ketua Pengawas SKKS dipersilakan untuk menyampaikan ucapan beliau bagi mewakili semua murid SKKS. 


Di dalam ucapan beliau, adik Adrine menyentuh tentang bagaimana En Baynard telah dapat mengekal dan meningkatkan prestasi subjek Matematik SKKS.Ini terbukti apabila tiga tahun berturut-turut SKKS telah berjaya mencapai kelulusan 100% dalam subjek Matematik UPSR. 

Beliau juga menambah  bahawa pencapaian ini sememangnya adalah hasil dari inovasi En Baynard dalam teknik pengajaran dan pembelajaran yang beliau praktikkan sepanjang beliau berkhidmat di sekolah ini. 

 
Majlis diteruskan pula dengan ucapan dari En James Jota, Pengerusi Kelab Staf, yang mewakili semua guru dan staf sokongan SKKS. En James   memaklumkan kepada hadirin-hadirat bahawa sesungguhnya beliau tidak menyangka bahawa En Baynard akan pergi meninggalkan SKKS setelah hampir 6 tahun mencurahkan bakti di sini. En James mewakili rakan-rakan guru dan staf sokongan SKKS berasa amat sedih kerana sekolah akan kehilangan seorang guru Matematik yang sangat berdedikasi terhadap tugasnya.


Tiba pula giliran tuan Guru Besar, En Awang Jolkipali Awang Seriee untuk menyampaikan ucapan beliau. Beliau telah menyentuh tentang bagaimana PPD Serian sememangnya menyedari akan kepakaran En Baynard dalam metadologi PDP kaedah bermatematik, menyebabkan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Serian telah mengambil keputusan untuk menawarkan En Baynard jawatan Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (Matematik) DG 44.

En Awang menambah lagi bahawa "our lost is PPD Serian’s gain” – kerugian kita adalah keuntungan PPD Serian. En Awang secara jujurnya berkata bahawa adalah satu kerugian kepada SK Kujang Sain apabila terpaksa melepaskan En Baynard ke PPD Serian. Tetapi apakah daya ‘good things will not last forever’. Dengan berat hati pihak SKKS merelakan pemergian En Baynard atas dasar kebaikan yang lebih besar ‘for the greater good’. Tuan Guru Besar mengakhiri ucapan beliau dengan berharap semoga bakat En Baynard dalam pengkaedahan PDP Matematik yang berinovasi ini dapat disebarluaskan ke seluruh daerah Serian melalui jawatan beliau sekarang sebagai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (Matematik).         

Setelah berakhirnya ucapan guru besar, perhatian hadirin-hadirat tertumpu ke skrin hadapan bagi menonton montaj video yang bertajuk 'Baynard: Jejak Bertapak Seorang Pendidik'.



Sebaik sahaja tayangan montaj video selesai, adik Maxentius Maclister terus ke hadapan bagi mendeklamasikan sebuah sajak yang bertajuk 'Kami Sayang Cikgu.....'

Cikgu,
Datangmu kami sanjung
Pergimu kami tangisi
Enam tahun kamu di sini
Menjadi adiguru pemudahcara
Ilmu bermatematik
Mengajar kami hitung tambah dan tolak
Bahagi dan darab
Ukur masa, timbang dan sukat
Peratus dan pecahan

Cikgu,
Jenakamu kami tertawa
Ceritamu mengungkit keinsafan
Nukilanmu menyentap minda
Kaedah PdP mu inovasi terkini
Nilai hidupmu menjadi suluh kehidupan
SMART 4 dipraktis
MASTER 4 diimplemantasi
KUBADATT diingati,
Sifir darab melekat di memori

Cikgu,
Sebaik sahaja kamu pergi
Hanya air mata tangis yang akan mengiringi
Tawa hilai
Senda gurau
Tangis duka
Yang datang darimu
Akan terus terpahat di memori kami

Cikgu...kami sayang cikgu,

Cikgu...

Cikgu...

Cikgu...

Selesai deklamasi sajak, tibalah giliran En Baynard Sawun untuk menyampaikan amanat terakhir beliau kepada murid-murid dan rakan-rakan guru.


Beliau telah berpesan kepada guru-guru untuk terus melaksanakan segala perancangan yang telah diatur di dalam Pelan Strategik Sekolah 2012-2016. Terutama sekali kepada pelaksanaan program-program berfokus jangka panjang. Beliau juga mengingatkan kepada semua warga SKKS supaya berpegang teguh kepada misi dan visi sekolah bagi menjadikan SK Kujang Sain sebagai sekolah pedalaman contoh menjelang 2016.



Bagi menghargai jasa-jasa dan budi baik En Baynard, pihak PIBG dan sekolah telah sudi memberikan beliau sedikit cenderamata kenang-kenangan berupa sebuah pasu tradisional Sarawak dan sebatang pen berjenama. En Baynard juga telah menerima begitu banyak hadiah dari murid-murid dan staf SKKS yang lain. 


Majlis kemudian beralih ke jamuan makan tengahari. Setelah selesai makan tengahari, En Baynard telah sudi bergambar beramai-ramai dengan murid-murid dan rakan-rakan guru serta staf-staf sokongan.



Majlis berakhir pada jam 2.00 petang.

Sekitar Majlis Kesyukuran & Ucap Tahniah En Baynard Sawun