Saturday, 10 May 2014

KURSUS PEMBANGUNAN PROFESIONALISME BERTERUSAN (CONTINUOS PROFESIONAL DEVELOPMENT) GRED DG 41


9 Mei 2014 (Jumaat) - Bahagian Pendidikan Guru telah menganjurkan Kursus Profesionalisme Berterusan (CPD) untuk seramai 154 orang guru DG 41 dari Bahagian Kuching, Samarahan, Betong dan Sri Aman. Kehadiran ke kursus ini merupakan sebahagian dari syarat kelayakan untuk kenaikan pangkat ke DG44. Kursus ini dijalankan selama 5 hari 4 malam bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan.

Sk Kujang Sain telah diwakili oleh En James Jota dan En Risharry Mohd Ramli. Kedua-duanya merupakan guru DG 41 lepasan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI). En James Jota mendapat latihan perguruan di IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, manakala En Risharry Mohd Ramli mendapat latihan perguruan di IPG Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.


Berikut adalah antara input yang diperolehi dan aktiviti yang dijalani oleh kedua-dua guru sepanjang mengikuti kursus tersebut:

Isnin

Dinamika Kumpulan:
- pembentukan kumpulan
- mencipta logo, nama dan slogan kumpulan




Selasa

Nilai Profesional:
- pemetaan hati
 

Pengenalan, Dasar & Hala Tuju Pendidikan Malaysia
- menghubung-kait elemen-elemen berkaitan hala tuju 
  pendidikan Malaysia



- sistem pendidikan dan sistem peperiksaan di Malaysia


- inisiatif baru KPM


Perancangan dan Pengajaran
- membina RPH yang baik 

Rabu

Perancangan dan Pengajaran
- kajian kes 5 & 6

 
Kualiti Pengurusan Kelas
- kajian kes Cikgu Imran

Teknik & Strategi Pengajaran

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi


 
Sumber P&P

Penilaian Berterusan

Profesional Learning Comunity




Pentaksiran & Penilaian



Keusahawanan dan TMK
- ciri keusahawanan
- konsep keusahawanan dalam pendidikan




Khamis

Konsep Kepimpinan P&P
- konsep kepimpinan
- pengurusan bilik darjah


Konsep Kajian Tindakan
- perbincangan 
- pembentangan
- refleksi



Jumaat

Nilai Profesional (Roh Guru)


Penilaian & Penutupan
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Pn Hamsiah Abdullah Masni, Pengarah IPG Kampus Tun Abdul Razak.


Selama 5 hari berkursus, blogger dan rakan blogger telah menerima begitu banyak input yang dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan di dalam jiwa sanubari seorang guru. Adalah diharapkan agar kursus seperti ini dapat diperluaskan kepada guru-guru di dalam gred selain dari gred DG 41.

Gambar-gambar semasa berkursus







Wednesday, 23 April 2014

KURSUS PEMANTAPAN PEDAGOGI DALAM P&P SAINS BAGI JURULATIH UTAMA NEGERI SARAWAK 2014

 
23 April 2014 (Rabu) - Sektor Kompetensi Pembelajaran & Pengajaran, Bahagian Pendidikan Guru KPM dengan kerjasama Sektor Pengurusan Akademik, JPN Sarawak telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pedagogi Dalam P&P Sains Bagi Jurulatih Utama Negeri Sarawak Tahun 2014. Kursus tersebut telah diadakan selama 3 hari iaitu dari 21 hingga 23 April 2014 bertempat di Hotel The Regency Rajah Court di Kuching. Setiap daerah di Sarawak (31 buah daerah) telah menghantar 2 orang guru SR dan 2 orang guru SM bagi mewakili daerah masing-masing. Daerah Serian telah diwakili oleh Pn Sinah Robinson dari SK Serian dan En Risharry Mohd Ramli dari SK Kujang Sain.

Sepanjang 3 hari berkursus, para jurulatih utama telah didedahkan dengan konsep Organisasi Pembelajaran (LO), teknik penyoalan berteraskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Pendidikan Sains Berasaskan Inkuiri (IBSE).



 
Input-input tersebut disampaikan dalam bentuk ceramah, dipraktiskan dalam slot bengkel, dan diverifikasikan melalui sesi pembentangan kumpulan.

Jurulatih-jurulatih kebangsaan yang terlibat dalam kursus ini ialah:

Sekolah Menengah
Pn Radziah Mohd Yamin (SMK Bukit Saujana, Port Dickson, Negeri Sembilan)
Pn Saodah Sharif (SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan)
Pn Sabiah Ninggal (SMK Durian Tunggal, Melaka)
Pn Faridah Meor Ahmad (SMK La Salle, Brickfields, Kuala Lumpur)
Pn Nurhuda Rahman (Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya)

Sekolah Rendah 
En Azman Omar (IPG Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu)
Pn Hairiah Munip (IPG Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang)
Pn Hajah Puan Haji Ibrahim (Jabatan Pendidikan Negeri Selangor)
Pn Nik Asmazura Nik Ibrahim (SK Salak, Sepang, Selangor)

Pada hari terakhir kursus, En Lau Shin Chai, Penolong Pengarah Sains (Rendah) dari Sektor Pengurusan Akademik, JPN Sarawak telah menyampaikan satu ucapan yang merumuskan segala input yang telah disampai dan dipraktik sepanjang 3 hari berkursus.

Majlis penutupan rasmi kursus telah disempurnakan oleh Cik Roslina Abdul Rashid, Penolong Pengarah, Sektor Kompetensi Pembelajaran & Pengajaran, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia. Wakil dari daerah Serian, En Risharry Mohd Ramli telah diberi penghormatan untuk mengacarakan majlis penutupan tersebut.

Sesungguhnya kursus ini telah berjaya meningkatkan pemahaman para JU tentang Inqury Based Science Education (IBSE) dan aplikasi KBAT semasa P&P. Para JU diharap agar melaksanakan kursus penyebaran di peringkat daerah apabila pulang semula ke daerah masing-masing.

Gambar-gambar semasa perjalanan kursus





 

KURSUS JURULATIH UTAMA TENAGA BOLEH BAHARU DAN KECEKAPAN TENAGA



5 April 2014 (Sabtu) - Bahagian Ko-Kurikulum & Kesenian, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, dengan kerjasama Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau Universiti Sains Malaysia (CETREE & GT USM), telah menganjurkan kursus jurulatih utama bagi guru-guru sekolah rendah terpilih dari daerah Serian dan Simunjan. Kursus tersebut telah dijalankan di Hotel Penview bermula dari 3 hingga 5 April 2014. SK Kujang Sain telah diwakili oleh En Risharry Mohd Ramli selaku Ketua Panitia Sains dan Guru Sains Tahun 6.



Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah CETREE & GT USM, Profesor Madya Dr Mohd Wira Mohd Shafiee. 

 
Sepanjang 3 hari berkursus, guru-guru telah didedahkan dengan konsep Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga (TBB & KT). Guru-guru juga telah diberi penerangan tentang cara-cara memasukkan elemen-elemen TBB & KT ke dalam proses P&P tanpa mengira matapelajaran. 



Guru-guru dipecahkan kepada kumpulan mengikut matapelajaran seperti Sains, Bahasa Melayu, English, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Seni. Setiap kumpulan diminta untuk menghasilkan rancangan pembelajaran harian berdasarkan sukatan matapelajaran tetapi mesti memasukkan elemen-elemen TBB & KT. Setiap kumpulan juga dimestikan menghasilkan satu abm atau bbm yang berteraskan elemen TBB & KT.



Setiap kumpulan kemudiannya telah membentangkan hasil rph dan abm / bbm mereka.

Pada hari terakhir kursus, guru-guru telah diberikan sijil penyertaan dan modul guru & modul aktiviti TBB & KT yang boleh dijadikan panduan guru di sekolah.

Kursus tersebut telah dapat menimbulkan kesedaran di kalangan guru-guru tentang kepentingan TBB & KT dalam mewujudkan persekitaran bumi yang lestari untuk generasi akan datang.

Gambar-gambar semasa perjalanan kursus









Monday, 3 March 2014

MAJLIS KESYUKURAN & UCAP TAHNIAH EN BAYNARD SAWUN



3 Mac 2014 (Isnin) - Hari ini mencatatkan satu lagi detik gemilang di dalam sejarah SK Kujang Sain apabila salah seorang dari rakan baik blogger, iaitu En Baynard Sawun telah dilantik sebagai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) Matematik (DG 44). Pelantikan ini bermakna beliau akan bertukar stesen bertugas, iaitu dari SK Kujang Sain ke Unit Pengurusan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Serian.

Bagi meraikan kenaikan pangkat beliau, pihak sekolah berbesar hati untuk mengadakan Majlis Kesyukuran & Ucap Tahniah pada hari ini bertempat di Balai RMT.


Majlis dimulakan pada pukul 11.30 pagi dengan para murid dan guru mengambil tempat di Balai RMT. Setelah semua tetamu selesa duduk di kerusi masing-masing, En Risharry Mohd Ramli selaku pengerusi majlis memulakan kata-kata aluannya.


Bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara dan sekolah, para murid, guru dan tetamu jemputan bersama-sama berdiri bagi menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku' dan lagu sekolah 'Bersatu Tuju Wawasan'.

Bagi memohon rahmat Tuhan yang maha esa, majlis mempersilakan adik Okyverson Nelson bagi mengetuai bacaan doa 'Amang Emi'.


Seterusnya adik Adrine Cooler Linot, Ketua Pengawas SKKS dipersilakan untuk menyampaikan ucapan beliau bagi mewakili semua murid SKKS. 


Di dalam ucapan beliau, adik Adrine menyentuh tentang bagaimana En Baynard telah dapat mengekal dan meningkatkan prestasi subjek Matematik SKKS.Ini terbukti apabila tiga tahun berturut-turut SKKS telah berjaya mencapai kelulusan 100% dalam subjek Matematik UPSR. 

Beliau juga menambah  bahawa pencapaian ini sememangnya adalah hasil dari inovasi En Baynard dalam teknik pengajaran dan pembelajaran yang beliau praktikkan sepanjang beliau berkhidmat di sekolah ini. 

 
Majlis diteruskan pula dengan ucapan dari En James Jota, Pengerusi Kelab Staf, yang mewakili semua guru dan staf sokongan SKKS. En James   memaklumkan kepada hadirin-hadirat bahawa sesungguhnya beliau tidak menyangka bahawa En Baynard akan pergi meninggalkan SKKS setelah hampir 6 tahun mencurahkan bakti di sini. En James mewakili rakan-rakan guru dan staf sokongan SKKS berasa amat sedih kerana sekolah akan kehilangan seorang guru Matematik yang sangat berdedikasi terhadap tugasnya.


Tiba pula giliran tuan Guru Besar, En Awang Jolkipali Awang Seriee untuk menyampaikan ucapan beliau. Beliau telah menyentuh tentang bagaimana PPD Serian sememangnya menyedari akan kepakaran En Baynard dalam metadologi PDP kaedah bermatematik, menyebabkan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Serian telah mengambil keputusan untuk menawarkan En Baynard jawatan Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (Matematik) DG 44.

En Awang menambah lagi bahawa "our lost is PPD Serian’s gain” – kerugian kita adalah keuntungan PPD Serian. En Awang secara jujurnya berkata bahawa adalah satu kerugian kepada SK Kujang Sain apabila terpaksa melepaskan En Baynard ke PPD Serian. Tetapi apakah daya ‘good things will not last forever’. Dengan berat hati pihak SKKS merelakan pemergian En Baynard atas dasar kebaikan yang lebih besar ‘for the greater good’. Tuan Guru Besar mengakhiri ucapan beliau dengan berharap semoga bakat En Baynard dalam pengkaedahan PDP Matematik yang berinovasi ini dapat disebarluaskan ke seluruh daerah Serian melalui jawatan beliau sekarang sebagai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (Matematik).         

Setelah berakhirnya ucapan guru besar, perhatian hadirin-hadirat tertumpu ke skrin hadapan bagi menonton montaj video yang bertajuk 'Baynard: Jejak Bertapak Seorang Pendidik'.



Sebaik sahaja tayangan montaj video selesai, adik Maxentius Maclister terus ke hadapan bagi mendeklamasikan sebuah sajak yang bertajuk 'Kami Sayang Cikgu.....'

Cikgu,
Datangmu kami sanjung
Pergimu kami tangisi
Enam tahun kamu di sini
Menjadi adiguru pemudahcara
Ilmu bermatematik
Mengajar kami hitung tambah dan tolak
Bahagi dan darab
Ukur masa, timbang dan sukat
Peratus dan pecahan

Cikgu,
Jenakamu kami tertawa
Ceritamu mengungkit keinsafan
Nukilanmu menyentap minda
Kaedah PdP mu inovasi terkini
Nilai hidupmu menjadi suluh kehidupan
SMART 4 dipraktis
MASTER 4 diimplemantasi
KUBADATT diingati,
Sifir darab melekat di memori

Cikgu,
Sebaik sahaja kamu pergi
Hanya air mata tangis yang akan mengiringi
Tawa hilai
Senda gurau
Tangis duka
Yang datang darimu
Akan terus terpahat di memori kami

Cikgu...kami sayang cikgu,

Cikgu...

Cikgu...

Cikgu...

Selesai deklamasi sajak, tibalah giliran En Baynard Sawun untuk menyampaikan amanat terakhir beliau kepada murid-murid dan rakan-rakan guru.


Beliau telah berpesan kepada guru-guru untuk terus melaksanakan segala perancangan yang telah diatur di dalam Pelan Strategik Sekolah 2012-2016. Terutama sekali kepada pelaksanaan program-program berfokus jangka panjang. Beliau juga mengingatkan kepada semua warga SKKS supaya berpegang teguh kepada misi dan visi sekolah bagi menjadikan SK Kujang Sain sebagai sekolah pedalaman contoh menjelang 2016.



Bagi menghargai jasa-jasa dan budi baik En Baynard, pihak PIBG dan sekolah telah sudi memberikan beliau sedikit cenderamata kenang-kenangan berupa sebuah pasu tradisional Sarawak dan sebatang pen berjenama. En Baynard juga telah menerima begitu banyak hadiah dari murid-murid dan staf SKKS yang lain. 


Majlis kemudian beralih ke jamuan makan tengahari. Setelah selesai makan tengahari, En Baynard telah sudi bergambar beramai-ramai dengan murid-murid dan rakan-rakan guru serta staf-staf sokongan.



Majlis berakhir pada jam 2.00 petang.

Sekitar Majlis Kesyukuran & Ucap Tahniah En Baynard Sawun















 

Wednesday, 19 February 2014

LAWATAN MENTORING & COACHING PPD SERIAN

19 Februari 2014 (Rabu) - SK Kujang Sain hari ini berbesar hati menerima kunjungan 3 pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Serian. Pegawai-pegawai tersebut ialah En Milon Sayeng (Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah), En Pelias Pog (School Improvement Specialist Coach) dan Cik Lilian Rayom (Penolong Penyelia Unit Pengurusan Akademik). Lawatan tersebut bertujuan untuk memantau persekitaran sekolah terutama sekali dari segi pelaksanaan P&P dan pengurusan sekolah.


Ketiga-tiga pegawai tersebut tiba di SKKS pada pukul 9.15 pagi. Mereka disambut oleh En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I. Mereka kemudiannya berpecah ke sekitar sekolah bagi melaksanakan pemantauan.

En Pelias Pog telah ke kelas Tahun 3 bagi mencerap En Risharry Mohd Ramli mengajar Bahasa Inggeris. En Milon Sayeng pula menuju ke kelas Tahun 1 bagi mencerap En Jovinus Ahjam mengajar Bahasa Inggeris. 


Selesai mencerap, ketiga-tiga mereka telah mengadakan pertemuan dengan En Barnabas Tanggai dan En Risharry Mohd Ramli di ruang rehat pejabat untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan perjalanan sekolah dan cadangan-cadangan penambahbaikan.

 
Cik Lilian pula berkesempatan untuk memaklumkan kepada pihak PPD dan sekolah tentang perlantikan En Risharry Mohd Ramli (Guru Sains Tahun 6 SKKS) sebagai Jurulatih Utama Sains bagi Daerah Serian. Beliau menambah lagi bahawa surat berkaitan pelantikan tersebut akan menyusul kemudian. 


Ketiga-tiga pegawai PPD tersebut beredar meninggalkan SKKS pada jam 10.30 pagi. Secara keseluruhannya, lawatan tersebut telah membolehkan pihak PPD memahami situasi yang berlaku di SKKS dan cabaran-cabaran yang dihadapi warganya dalam melaksanakan amanah sebagai pendididk. Pihak PPD juga telah berkongsi beberapa idea dengan pihak SKKS seperti memperbanyakkan lagi aktiviti pengayaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta menjadikan badminton sebagai teras aktiviti ko-kurikulum di SKKS.