Wednesday, 19 February 2014

LAWATAN MENTORING & COACHING PPD SERIAN

19 Februari 2014 (Rabu) - SK Kujang Sain hari ini berbesar hati menerima kunjungan 3 pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Serian. Pegawai-pegawai tersebut ialah En Milon Sayeng (Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah), En Pelias Pog (School Improvement Specialist Coach) dan Cik Lilian Rayom (Penolong Penyelia Unit Pengurusan Akademik). Lawatan tersebut bertujuan untuk memantau persekitaran sekolah terutama sekali dari segi pelaksanaan P&P dan pengurusan sekolah.


Ketiga-tiga pegawai tersebut tiba di SKKS pada pukul 9.15 pagi. Mereka disambut oleh En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I. Mereka kemudiannya berpecah ke sekitar sekolah bagi melaksanakan pemantauan.

En Pelias Pog telah ke kelas Tahun 3 bagi mencerap En Risharry Mohd Ramli mengajar Bahasa Inggeris. En Milon Sayeng pula menuju ke kelas Tahun 1 bagi mencerap En Jovinus Ahjam mengajar Bahasa Inggeris. 


Selesai mencerap, ketiga-tiga mereka telah mengadakan pertemuan dengan En Barnabas Tanggai dan En Risharry Mohd Ramli di ruang rehat pejabat untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan perjalanan sekolah dan cadangan-cadangan penambahbaikan.

 
Cik Lilian pula berkesempatan untuk memaklumkan kepada pihak PPD dan sekolah tentang perlantikan En Risharry Mohd Ramli (Guru Sains Tahun 6 SKKS) sebagai Jurulatih Utama Sains bagi Daerah Serian. Beliau menambah lagi bahawa surat berkaitan pelantikan tersebut akan menyusul kemudian. 


Ketiga-tiga pegawai PPD tersebut beredar meninggalkan SKKS pada jam 10.30 pagi. Secara keseluruhannya, lawatan tersebut telah membolehkan pihak PPD memahami situasi yang berlaku di SKKS dan cabaran-cabaran yang dihadapi warganya dalam melaksanakan amanah sebagai pendididk. Pihak PPD juga telah berkongsi beberapa idea dengan pihak SKKS seperti memperbanyakkan lagi aktiviti pengayaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta menjadikan badminton sebagai teras aktiviti ko-kurikulum di SKKS.  

Tuesday, 11 February 2014

GOTONG-ROYONG PIBG KALI PERTAMA 2014

 
8 Januari 2014 (Sabtu) - Gotong-royong PIBG kali pertama bagi tahun 2014 telah diadakan pada hari ini. Aktiviti ini dijalankan bagi menambah-baik dan meningkatkan lagi keselesaan serta keceriaan Balai RMT SK Kujang Sain. 

Ibu bapa, penduduk kampung dan guru-guru telah mula berkumpul di hadapan Balai RMT seawal jam 7.30 pagi. En Disep Nitin selaku Yang DiPertua PIBG telah memberikan sepatah dua kata sebelum beliau melakukan pengagihan tugas kepada ibu bapa.
 








Antara kerja-kerja yang dijalankan semasa aktiviti gotong-royong tersebut ialah pemasangan siling, pemasangan bingkai tingkap, membuat 'slab' konkrit di hadapan pintu masuk dan kerja-kerja mengecat.

Sementara kaum lelaki sibuk melakukan kerja-kerja fizikal, kaum perempuan pula sibuk di dapur prasekolah bagi menyediakan juadah minum pagi dan makan tengahari.



Guru-guru dan staf sokongan lelaki pula melakukan kerja-kerja mengecat garisan di atas permukaan tar berhadapan kuarters guru untuk dijadikan gelanggang badminton. Peserta gotong-royong berhenti sebentar pada jam 12.30 tengahari bagi menikmati juadah makan tengahari di perkarangan prasekolah.


 

Selepas makan tengahari, kerja-kerja pemasangan tingkap dan mengecat dinding Balai RMT diteruskan.

 
Program gotong-royong ini ditangguhkan pada jam 3.00 petang. 

Secara keseluruhannya program ini dianggap berjaya kerana para ibu bapa dan penduduk kampung telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dengan hadir beramai-ramai. Kesungguhan ahli-ahli PIBG terhadap kesempurnaan Balai RMT terserlah apabila mereka begitu tekun melakukan kerja-kerja pertukangan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Blogger berharap agar komitmen dan kesungguhan seperti dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.

Gambar-gambar semasa program gotong-royong