Saturday 17 January 2015

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH SESI 2015


  
12 Januari 2015 (Isnin) - Hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan 2015. Murid-murid dan guru-guru kelihatan bersemangat dan ceria bagi memulakan sesi P&P. Blogger mengharapkan agar semangat ini berterusan sehingga ke hari akhir persekolahan. Belum terlambat bagi blogger untuk mengucapkan 'SELAMAT TAHUN BARU 2015' kepada semua warga SKKS.

Tuesday 25 November 2014

KEPUTUSAN UPSR 2014


26 November 2014 (Rabu) - Keputusan UPSR 2014 telah diumumkan pada hari ini. Guru Besar, En Awang Jolkipali Awang Seriee telah mengambil keputusan tersebut di Serian. Calon-calon UPSR telah mengambil slip keputusan mereka di sekolah.

Sunday 23 November 2014

TAMAT PENGGAL PERSEKOLAHAN SESI 2014......SELAMAT BERCUTI!


21 November 2014 (Jumaat) - Hari ini merupakan hari terakhir penggal persekolahan sesi 2014. Blogger ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan guru dan staf sokongan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi membolehkan blog sekolah kita dipenuhi dengan pelbagai post berkaitan segala aktiviti dan program anjuran sekolah. Terima kasih juga kepada murid-murid yang telah menyokong blogger dengan memberikan input-input berguna bagi menambah baik persembahan blog ini.
Semoga pada sesi persekolahan 2015, lebih banyak post dapat diletakkan di dalam blog sekolah kita supaya pihak-pihak luar dapat membaca dan mengetahui segala aktiviti sekolah.
Akhir kata....
UP! UP! KUJANG SAIN!

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH & SIJIL SKKS 2014

 
20 November 2014 (Khamis) - Majlis Penyampaian Hadiah & Sijil 2014 SKKS telah diadakan di Balai Raya Kampung Kujang Sain. Majlis tersebut merupakan program kemuncak mengikut takwim persekolahan 2014. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh En Chakam Mawi, Ketua Kampung Kujang Sain.

Majlis bermula dengan ketibaan En Chakam Mawi, Ketua Kampung Kujang Sain dan En Disep Nitin, Yang diPertua PIBG SKKS ke balai raya. Kedua-dua tetamu tersebut disambut oleh En Awang Jolkipali Awang Seriee, Guru Besar SKKS dan En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I SKKS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Hari Penyampaian Hadiah & Sijil SKKS 2014.
 
 
Bacaan doa bagi memberkati majlis telah diketuai oleh En Aguh Mawi.
 
 
Selesai bacaan doa, para tetamu, guru dan murid bersama-sama berdiri tegak bagi menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku'.


Slot ucapan dimulakan oleh adik Okyverson Nelson yang mewakili murid-murid Tahun 6. Dalam ucapannya, beliau telah menyentuh tentang pengalaman beliau dan rakan-rakan Tahun 6 beliau selama mereka bersekolah di SKKS. Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada guru-guru atas kesudian mendidik mereka selama 6 tahun ini.


Ucapan seterusnya ialah dari En Awang Jolkipali Awang Seriee, Guru Besar SKKS. Dalam ucapannya, beliau telah menyentuh tentang peri pentingnya kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam menjayakan semua agenda sekolah yang sudah tentu bertujuan untuk meningkatkan lagi pencapaian akademik anak-anak murid SKKS. Beliau juga telah menyentuh tentang objektif mengadakan majlis tersebut iaitu bagi menunjukkan penghargaan kepada murid-murid yang telah berjaya mencapai keputusan akademik yang baik dan juga bagi menghargai murid-murid yang telah mencapai kejayaan semasa mewakili sekolah dalam apa-apa acara baik di peringkat zon mahupun daerah.
 
 
Ucapan perasmian pula telah disampaikan oleh En Chakam Mawi, Ketua Kampung Kujang Sain. Beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada guru-guru kerana telah berhempas pulas mendidik murid-murid di SKKS sehingga mereka berada di tahap pencapaian akademik yang boleh dibanggakan. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah menyumbangkan 30 unit notebook 1 Malaysia kepada pihak sekolah. Beliau mengharapkan agar notebook 1 Malaysia itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin oleh pihak sekolah.
 
Sebagai tanda kenang-kenangan, En Awang Jolkipali Awang Seriee, Guru Besar SKKS telah berkesudian untuk menyampaikan sebuah cenderamata kepada En Chakam Mawi dan En Disep Nitin sebagai tanda terima kasih atas kesudian untuk hadir ke majlis tersebut.
 
Majlis diteruskan lagi dengan Tayangan Video 1  yang memaparkan proses pembinaan Balai RMT.


Selesai persembahan, slot penyampaian hadiah dimulakan dengan penyampaian hadiah bagi kategori-kategori berikut. Hadiah disampaikan oleh En Chakam Mawi.
 
KEDUDUKAN TERBAIK DALAM KELAS
 
 
 
 
 
 
 
 PENCAPAIAN TERBAIK DALAM MATA PELAJARAN TERAS
 
 
 
 
 
 
 
 
 HADIAH GALAKAN PENINGKATAN PRESTASI
 
 
 
 




HADIAH PENGHARGAAN KEDATANGAN 100% SEPANJANG TAHUN
 
 
 HADIAH KO-KURIKULUM TERBAIK
 
 
MURID CONTOH KO-KURIKULUM 2014
 
 
Sesi kedua pula diteruskan dengan penyampaian hadiah-hadiah dan sijil-sijil dalam pelbagai kategori. Sijil-sijil telah disampaikan oleh En Disep Nitin, YDP PIBG SKKS.





Tayangan video yang kedua pula bertajuk 'SKKS Sepanjang 2014'. Video tersebut memaparkan tentang aktiviti-aktiviti yang berjalan sepanjang tahun 2014.


Majlis ditangguhkan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri 'Ibu Pertiwiku'.

Dapatlah dirumuskan bahawa majlis ini telah berjalan lancar hasil koordinasi guru-guru dan staf-staf sokongan SKKS. Murid-murid dan guru-guru sememangnya merasa teruja dengan kejayaan majlis ini dalam menghargai sumbangan warga SKKS dalam memastikan SKKS menjadi peneraju sekolah pedalaman cemerlang di daerah Serian menjelang tahun 2016.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Thursday 13 November 2014

KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN SK KUJANG SAIN EDISI 2014


13 November 2014 (Khamis) - Kejohanan Sukan Tahunan SK Kujang Sain Edisi 2014 telah berlangsung secara sederhana pada hari ini.


Murid-murid telah mula berkumpul di khemah peserta seawal jam 7.30 pagi. Guru-guru dan ibu-bapa mula memenuhi khemah vip menjelang jam 8.00 pagi. 


Tepat pukul 8.30 pagi, En Risharry Mohd Ramli selaku pengerusi majlis mula menyampaikan kata-kata aluannya. 


Beliau seterusnya memulakan acara lintas hormat kontinjen rumah-rumah sukan.


Acara lintas hormat dimulakan dengan Rumah Merah yang diketuai oleh adik Bastian Tasun. Ini diikuti dengan Rumah Biru yang diketuai oleh adik Okyverson Nelson. Kontinjen ketiga ialah Rumah Kuning yang diketuai oleh adik Nelson George Geno dan diikuti pula oleh Rumah Putih yang diketuai oleh adik Raphael Walter.

 
Setelah kesemua kontinjen tiba di hadapan khemah vip dan beratur dalam keadaan tertib, para hadirin dan murid-murid bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan iaitu lagu Negaraku.

 
Bagi memberkati acara sukan pada hari tersebut, En Aguh Mawi telah sudi untuk mengetuai bacaan doa.

 
Seterusnya En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I, menyampaikan ucapan beliau mewakili tuan guru besar.


Selepas ucapan En Barnabas, pengerusi majlis telah mempersilakan En Disep Nitin, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKKS bagi menyampaikan ucapan beliau dan seterusnya merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan SKKS Edisi 2014.


Selepas ucapan perasmian, adik Okyverson Nelson telah tampil ke hadapan dan mengetuai bacaan ikrar kejohanan. 


Selepas itu beliau membawa obor kejohanan ke tengah padang dan menyalakan api kejohanan sebagai tanda bermulanya kejohanan sukan tersebut.

Murid-murid mula bergerak ke khemah peserta selepas diarahkan oleh guru bertugas. 


Acara olahraga mengambil tempat di balapan. Murid-murid kelihatan bersemangat semasa melakukan larian mewakili rumah masing-masing. 



Murid-murid lain pun kelihatan teruja apabila rakan mereka berjaya mendapatkan mata bagi rumah sukan masing-masing.




Tepat pukul 11.00 pagi, acara penyampaian hadiah pula mengambil tempat. Rumah Kuning telah memenangi acara lintas hormat. Keputusan keseluruhan adalah seperti berikut:


Juara Keseluruhan:
Rumah Merah

Naib Juara:
Rumah Biru

Tempat Ke-3:
Rumah Kuning

Tempat Ke-4:
Rumah Putih 

Secara keseluruhannya, kejohanan sukan ini telah berjaya mencungkil bakat sukan murid-murid SKKS. Adalah diharapkan supaya kejohanan sukan SKKS pada tahun hadapan akan berlangsung dengan lebih meriah. 

Gambar-gambar semasa kejohanan berlangsung