Sunday 13 October 2013

LAWATAN SAMBIL BELAJAR PASCA UPSR KE BANDARAYA KUCHING

Di foyer Bangunan DBKU
11 & 12 Oktober 2013 (Jumaat & Sabtu) - SK Kujang Sain telah menganjurkan program Lawatan Sambil Belajar Pasca UPSR ke Bandaraya Kuching pada 11 dan 12 Oktober baru-baru ini. Lawatan tersebut telah disertai oleh seramai 12 orang murid Tahun 6 dengan 3 orang guru pengiring iaitu En Risharry Mohd Ramli, Cik Emily Uncho & Cik Rhona Gudem. 

Murid-murid telah berkumpul seawal jam 6.30 pagi di hadapan kuarters guru. Tepat jam 7.30 pagi, rombongan mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah. 

Destinasi pertama ialah Restoran Nusantara di Serian untuk bersarapan pagi. Murid-murid dan guru-guru pengiring telah menikmati hidangan nasi lemak. Selesai bersarapan, rombongan pun meneruskan perjalanan ke Kuching.

Di Bangunan DBKU
Rombongan tiba di perkarangan Bangunan DBKU di Bukit Siol, Kuching pada jam 10.30 pagi. Murid-murid dan guru-guru pengiring pun bergerak ke Muzium Kucing yang terletak di dalam Bangunan DBKU.

Di pintu masuk Muzium Kucing
Di dalam muzium tersebut, murid-murid telah melihat pelbagai pameran berkenaan spesis kucing dan perkaitannya dengan sejarah kehidupan manusia. Mereka juga telah membeli pelbagai cenderamata berkaitan kucing.
 
Di hadapan Muzium Cina Sarawak
Destinasi seterusnya ialah Muzium Cina Sarawak di Tebingan Kuching. Sejurus tiba di situ pada jam 12.00 tengahari, peserta rombongan bergerak masuk ke muzium tersebut yang asalnya merupakan bangunan mahkamah bagi masyarakat Cina di Kuching pada suatu masa dahulu. Muzium tersebut mempamerkan pelbagai bahan pameran berkaitan sejarah kedatangan orang Cina ke Sarawak, adat-resam dan cara hidup, pendidikan serta kegiatan ekonomi masyarakat Cina di Sarawak.

Setelah berkunjung ke Muzium Cina Sarawak, peserta rombongan melintasi Jalan Main Bazaar untuk ke beberapa kedai yang menjual barangan cenderamata yang terdapat di sepanjang jalan tersebut. Pelbagai produk cenderamata telah dibeli mereka seperti rantai kunci, magnet peti sejuk dan rantai leher.

Hotel Place2Stay
Pada jam 1.00 petang, murid-murid dan guru-guru pengiring tiba di Hotel Place2Stay di Jalan Ban Hock. Mereka mendaftar masuk dan menerima kunci bilik masing-masing.


Tepat jam 2.15 petang, rombongan pun bergerak ke Muzium Negeri Sarawak dan tiba di sana pada jam 2.30 petang. 

Pameran Petrosains Dinotrek2 di Dewan Tun Abdul Razak, Muzium Negeri Sarawak
Di sana, peserta rombongan berpeluang melawat Pameran Dinotrek2 anjuran Petrosains Discovery Centre. 
 
Murid-murid menghayati pameran berkenaan Tyranosaurus Rex
Di pameran tersebut, murid-murid berpeluang melihat pelbagai jenis spesis dinosaur yang 'dihidupkan' melalui teknologi animatronik di mana patung-patung dinosaur tersebut kelihatan hidup dengan pergerakan dan bunyi yang seakan-akan hidup. 

Murid-murid cuba menjawab soalan kuiz Dinotrek2
Semasa di pameran tersebut, murid-murid kita juga berpeluang mengikuti aktiviti kuiz anjuran Petrosains Discovery Centre yang dikendalikan oleh staf-staf Petrosains sendiri. 

Pemenang-pemenang kuiz telah menerima hadiah dari pihak Petrosains
Murid-murid yang berjaya menjawab soalan kuiz dengan betul telah diberikan hadiah oleh pihak Petrosains.

Kenyang!
Pada sebelah malamnya pula, iaitu pada jam 7.30 malam, peserta rombongan telah menjamu selera di Restoran Anuar Steambot yang terletak bersebelahan Hotel Telang Usan. Murid-murid menikmati pelbagai makanan yang dimasak oleh mereka sendiri. Setelah selesai menjamu selera, peserta rombongan pun kembali ke hotel untuk berehat.

Pada keesokan harinya iaitu pada jam 7.30 pagi, peserta rombongan telah bersiap dan mendaftar keluar dari bilik penginapan mereka. Setelah selesai urusan daftar keluar, rombongan pun bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Kampung Budaya Sarawak di Santubong.

Pantai Damai, Santubong
Rombongan tiba di Damai Sentral pada 8.30 pagi. Di sana, peserta rombongan mengambil kesempatan bersiar-siar di sepanjang Pantai Damai yang indah lagi mempersonakan. Pada jam 9.30 pagi, peserta rombongan menikmati sarapan pagi di beberapa gerai makanan yang terdapat di Damai Sentral.

Pintu masuk Kampung Budaya Sarawak
Pada jam 10.00 pagi, murid-murid dan guru-guru pengiring bergerak ke pintu masuk Kampung Budaya Sarawak untuk mengambil tiket masing-masing. 

Tarian Rejang Beuh oleh suku kaum Bidayuh
Setelah mengambil tiket, mereka pun bergerak ke Auditorium Utama untuk menyaksikan persembahan kebudayaan yang berlangsung selama 45 minit. Pelbagai persembahan tarian dari pelbagai suku kaum utama di Sarawak seperti Ngajat Lesung (Iban), Rejang Beuh (Bidayuh) dan pebagai lagi. 

Di rumah panjang etnik Iban
Setelah menyaksikan persembahan kebudayaan, peserta rombongan pun mula mengeksplorasi setiap rumah etnik-etnik yang terdapat di Sarawak seperti Rumah Panjang dan Baruk Bidayuh, Rumah Panjang Iban, Rumah Orang Ulu, Rumah Tinggi Melanau, Pondok Penan, Rumah Melayu dan Rumah Kebun Cina. 

Di rumah Orang Ulu
Sebelum meninggalkan Kampung Budaya Sarawak, peserta rombongan telah singgah di kedai cenderamata SCV bagi membeli cenderamata seperti topi, rantai kunci dan sumpit mini. Rombongan meninggalkan Kampung Budaya Sarawak pada jam 1.00 petang.

Menjamu selera di Restoran Singapore Chicken Rice, Plaza Merdeka
Destinasi terakhir sebelum bergerak pulang ke sekolah ialah Plaza Merdeka bagi makan tengahari. Peserta rombongan telah menjamu selera di Restoran Singapore Chicken Rice di Aras UG Plaza Merdeka. 

Model-model jambatan yang telah dibina di seluruh Sarawak
Setelah makan, peserta rombongan telah berkesempatan melawat Pameran 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia yang diadakan di perkarangan Bangunan Mahkamah Lama. 

Rombongan bergerak meninggalkan Plaza Merdeka pada jam 4.00 petang dan akhirnya tiba di perkarangan SKKS pada jam 6.00 petang.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini telah berjaya mencapai objektif-objektif seperti yang terkandung di dalam proposal program. Peserta-peserta lawatan didapati gembira dan teruja di setiap destinasi yang dikunjungi. Diharapkan agar program lawatan ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang.

Gambar-gambar yang diambil semasa lawatan
 



 



 

No comments:

Post a Comment