Thursday 23 January 2014

MESYUARAT AGONG PIBG BILANGAN 1/2014


23 Januari 2014 (Khamis) - Mesyuarat Agong PIBG SK Kujang Sain Bil 1/2014 telah diadakan di kelas prasekolah bermula pada pukul 2.00 petang. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh En Risharry Mohd Ramli selaku Setiausaha PIBG.

 
Mesyuarat telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berusaha En Awang Jolkipali, Guru Besar SKKS selaku penasihat PIBG. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau memaklumkan kepada ibu bapa tentang polisi baru sekolah iaitu 'Sanda Kireng De Sekolah, Sanda Bideyeh De Ramin' iaitu berbahasa Melayu di sekolah,berbahasa Bidayuh di rumah. Polisi ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kefasihan berbahasa Melayu di kalangan murid-murid. Analisis keputusan UPSR 2013 telah menunjukkan bahawa terdapat pola penurunan kefasihan berbahasa Melayu di kalangan murid-murid. Penurunan ini mempengaruhi tahap penerimaan dan pemahaman subjek-subjek lain.

Beliau juga menyentuh tentang keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan. Ini terbukti melalui pelbagai bantuan yang diberi seperti Bantuan Persekolahan 1 Malaysia, KWAPM, E-Kasih dan sebagainya.

Beliau juga menyeru agar ibu bapa menjadikan mesyuarat PIBG sebagai satu wadah perkongsian ide dan pernyataan masalah antara ibu bapa dan sekolah.


 Beliau seterusnya mencadangkan supaya Balai RMT dijadikan Bilik Gerakan PIBG bagi memudahkan perjalanan dan perlaksanaan program-program PIBG.

Di akhir ucapan, beliau menyeru agar ibu bapa memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan En Disep Nitin selaku Yang DiPertua PIBG.


Dalam ucapan balas Yang Dipertua PIBG, En Disep Nitin mengucapkan terima kasih atas kerjasama ibu bapa dalam menyiapkan Balai RMT. Walau bagaimanapun, masih terdapat kerja-kerja seperti mengecat yang masih belum selesai.

Beliau mengharapkan agar PIBG dalam melaksanakan projek-projek yang dapat meningkatkan dana PIBG yang semakin mengecil.

Mesyuarat diteruskan dengan agenda pengesahan minit mesyuarat Bil 1/2013. Minit tersebut telah diterima tanpa pindaan dengan En Pius sebagai pencadang dan disokong oleh En Fredrick Timen.


Seterusnya ialah pembentangan laporan setiausaha. En Risharry telah melaporkan perjalanan program-program anjuran sekolah dan PIBG seperti Kem Motivasi UPSR, Majlis Sembahyang Hajat, Gotong-Royong Pembinaan Balai RMT dan Hari Penyampaian Hadiah & Sijil.

 


Bagi laporan kewangan PIBG bagi tahun berakhir Disember 2013, En Harding mewakili Bendahari PIBG En Barnabas Tanggai telah membentangkan laporan tersebut. Laporan tersebut telah diterima tanpa pindaan dengan dicadang oleh En Norbert dan disokong oleh En Nelson.

Mesyuarat diteruskan pula dengan taklimat PK I, PK HEM dan PK KoKu.


Bagi hal-hal lain pula, ibu bapa telah menyuarakan pelbagai cadangan dan pendapat berkaitan aktiviti penambahan dana dan program-program peningkatan akademik.

En Baynard Sawun selaku juruaudit dalaman PIBG telah menasihatkan pihak pengurusan PIBG supaya melaksanakan pengurusan kewangan berhemah dengan mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi peruntukan.

Mesyuarat telah ditangguhkan pada pukul 4.25 petang dengan dicadang oleh En Harding dan disokong oleh Pn Stella.

Tuesday 14 January 2014

MAJLIS PELANTIKAN PENGAWAS SESI 2014



13 Januari 2014 (Isnin) - Majlis Pelantikan Pengawas Sesi 2014 telah selamat disempurnakan pada hari ini. Majlis bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan murid-murid dan guru-guru mengambil tempat masing-masing di tapak perhimpunan.

Majlis dipengerusikan oleh Encik Risharry Mohd Ramli selaku Setiausaha Lembaga Disiplin SKKS. Di dalam ucapan alu-aluannya, beliau telah menerangkan secara ringkas tentang fungsi pengawas dalam menguatkuasakan peraturan sekolah. Beliau juga mengharapkan agar pengawas-pengawas yang baru dilantik ini dapat menjadi mata dan telinga pihak pentadbir sekolah. 

Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan 'Negaraku' dan lagu sekolah 'Bersatu Tuju Impian' 

Bagi memberkati majlis, adik Maxentius Maclister telah sudi mengetuai bacaan doa.

Seterusnya murid-murid dan guru-guru bersama-sama melafazkan ikrar Rukunegara yang diketuai oleh adik Okyverson Nelson.


Tepat pukul 8.00 pagi, adik Adrine Cooler Linot selaku Ketua Pengawas yang baru bagi sesi 2014 telah berdiri di rostrom dan menyampaikan ucapan dasar beliau. Antara isi ucapan beliau ialah:

"Kami memahami akan peri pentingnya tugas yang telah diamanahkan ke atas kami. Penguatkuasaan peraturan sekolah akan dapat membentuk suatu suasana persekolahan yang tenteram sekaligus menjurus kearah kewujudan situasi pembelajaran yang kondusif dan lestari.
Saya dan rakan-rakan pengawas yang lain akan berusaha sedaya upaya untuk tidak mempersia-siakan kepercayaan yang telah diberi kepada kami. Kami juga mengharapkan agar rakan-rakan murid yang lain dapat memberikan kerjasama kepada pihak lembaga pengawas khasnya dan pihak sekolah amnya, supaya visi sekolah untuk menjadi peneraju sekolah pedalaman cemerlang akan dapat direalisasikan." 

 
Seterusnya tiba pula giliran Yang Berusaha En Awang Jolkipali Awang Seriee, Guru Besar SKKS untuk menyampaikan ucapan beliau. Antara isi ucapan beliau ialah:


"Pengawas merupakan seorang atau sekumpulan murid yang diberi kuasa oleh pihak sekolah bagi menguatkuasakan peraturan mengikut peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam buku peraturan sekolah. Sesungguhnya tugas seorang pengawas itu bukan mudah. Dalam mengimbangi tugas seorang pengawas dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, seseorang pengawas itu perlu bijak menguruskan masa supaya kedua-kedua tugas itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin."

Selepas menyampaikan ucapan beliau, beliau seterusnya menyampaikan watikah pelantikan kepada 9 orang pengawas (3 lantikan semula dan 6 lantikan baru). 

Ketua Pengawas
Adrine Cooler Linot 

Penolong Ketua Pengawas
Sherley Elizabeth Charllotte Norbert

Ahli-Ahli Jawatankuasa
Okyverson Nelson
Maxentius Maclister
Evelyn Azbee
Joe Allison Johny
Mazer Maclister
Aleyciana Andrew
Robert Richmond



Selepas menerima watikah masing-masing, pengawas-pengawas tersebut dengan diketuai oleh adik Adrine Cooler Linot selaku Ketua Pengawas yang baru telah melafazkan ikrar memegang jawatan.
   Bahawasanya kami
Pengawas-pengawas
Sekolah Kebangsaan Kujang Sain sesi 2014
Berjanji dan berikrar
Akan mematuhi undang-undang dan peraturan sekolah
akan menjalankan tugas-tugas kami dengan penuh dedikasi dan ikhlas sepanjang masa
akan berusaha sedaya upaya kami untuk menjaga nama baik lembaga pengawas, sekolah, agama, bangsa dan negara
Berdasarkan prinsip-prinsip rukunegara


Majlis ditangguhkan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri 'Ibu Pertiwiku' dan sorakan 'SK KUJANG SAIN BOLEH MAJU' dan 'SK KUJANG SAIN CAN SUCCEED'. 

Gambar-gambar semasa perjalanan majlis









 

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH........................SESI 2014




2 Januari 2014 (Khamis) - Hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan 2014. Murid-murid dan guru-guru kelihatan bersemangat dan ceria bagi memulakan sesi P&P. Blogger mengharapkan agar semangat ini berterusan sehingga ke hari akhir persekolahan. Belum terlambat bagi blogger untuk mengucapkan 'SELAMAT TAHUN BARU 2014' kepada semua warga SKKS.