Sunday 18 May 2014

SAMBUTAN HARI GURU SKKS EDISI 2014


16 Mei 2014 (Jumaat) - Pada hari ini, SK Kujang Sain telah menganjurkan sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Pada tahun ini, tema sambutan Hari Guru ialah "Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi".

Sambutan dimulakan dengan perhimpunan para guru dan murid-murid di hadapan kuarters guru merangkap tapak perhimpunan. En Risharry Mohd Ramli telah diberi penghormatan sebagai pengerusi majlis. 

Bagi memberkati majlis, adik Maxentius Maclister telah sudi mengetuai bacaan doa 'Amang Emi'.

Seterusnya murid-murid dan para guru berdiri tegak bersama-sama bagi menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku' dan lagu sekolah 'Bersatu Tuju Wawasan'. Selepas nyanyian kedua-dua lagu tersebut, para guru pula meneruskan lagi sesi nyanyian dengan menyanyikan lagu rasmi profesion perguruan iaitu 'Guru Malaysia' dan lagu 'Pendidik Bumi Kenyalang' dengan penuh bersemangat.


Majlis diteruskan lagi dengan ucapan wakil guru besar iaitu En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I SK Kujang Sain. Dalam ucapan beliau, beliau telah menegaskan akan kepentingan profesion perguruan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini hanya dapat berlaku sekiranya para guru berjaya mendidik murid-murid untuk menjadi modal insan yang sempurna dan lengkap dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

 
Ucapan seterusnya ialah dari wakil guru, En James Jota. Beliau mengingatkan murid-murid supaya menghormati guru sepanjang masa. Beliau juga mengingatkan murid-murid supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjadikan keputusan cemerlang yang diperolehi itu sebagai hadiah Hari Guru yang paling bernilai buat seorang guru.


Slot persembahan murid pula menyaksikan murid-murid Tahun 4 dengan bimbingan En Jovinus Ahjam mempersembahkan sebuah nyanyian Bahasa Inggeris berdasarkan melodi lagu 'Are You Sleeping'.

Selepas majlis perhimpunan ditangguhkan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Sarawak 'Ibu Pertiwiku', slot sukaneka pula mengambil tempat. Slot tersebut dikendalikan oleh En Abdul Halim Muazzam Syah dan En Kohong Baluh.

 
 
Di dalam slot sukaneka, murid-murid dan para guru sama-sama bertarung untuk mengutip mata dalam acara membawa telur dalam sudu, memancing 'ikan', mengisi air dalam botol menggunakan tangan dan lari dalam guni. Pasukan guru memenangi acara sukaneka ini dengan memenangi 3 dari 4 acara yang dipertandingkan.



Selesai acara sukaneka, murid-murid beratur dalam satu bulatan besar dan bergerak beramai-ramai untuk bersalam-salaman dengan para guru sambil mengucapkan ucapan 'Selamat Hari Guru'. Terdapat juga murid-murid yang mengambil kesempatan ini untuk memberi hadiah peribadi kepada guru kesayangan mereka.

Selepas bersalam-salaman dengan murid-murid, para guru pun bergerak ke Balai RMT bagi menikmati jamuan makan tengahari yang disediakan para guru dan staf sokongan.



Sambutan Hari Guru Edisi 2014 ini walaupun disambut dalam skala kecil tetapi telah berjaya mencapai matlamatnya untuk menghargai perjuangan warga pendidik di SK Kujang Sain. Semoga sambutan pada tahun-tahun yang mendatang akan menjadi lebih meriah dan ceria.

 Gambar-gambar di sekitar sambutan Hari Guru SKKS 2014














No comments:

Post a Comment