Monday 20 October 2014

LAWATAN PENANDA ARAS KE SK PAON TEMAGA BERSAMA TIMBALAN PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH SERIAN


20 Oktober 2014 (Isnin) - Pejabat Pendidikan Daerah Serian telah menganjurkan program Lawatan Penanda Aras Ke SK Paon Temaga. SK Paon Temaga merupakan sebuah sekolah kluster kecemerlangan yang terletak di daerah Lundu. Lawatan tersebut adalah bagi memberi peluang kepada pegawai-pegawai di PPD dan jurulatih-jurulatih utama (JU) daerah Serian untuk mempelajari seberapa banyak amalan-amalan terbaik yang dilaksanakan di sekolah tersebut. Amalan-amalan terbaik yang dipelajari akan dibawa pulang ke daerah Serian dan akan cuba diterap, disesuai dan dipraktikkan di PPD dan di sekolah-sekolah di dalam daerah Serian. 


Peserta-peserta lawatan tiba di Palm Beach Resort, Sematan pada pukul 4.00 petang. 


Setelah mendaftar masuk ke bilik masing-masing, peserta-peserta telah mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di sepanjang pantai Sematan. 


Pada pukul 7.00 malam, peserta-peserta telah menikmati makan malam secara buffet di restoran pusat peranginan tersebut.


Pada keesokannya harinya, peserta-peserta menikmati pula sarapan secara buffet di restoran yang sama.

Rombongan tiba di perkarangan SK Paon Temaga pada pukul 8.00 pagi. Ketibaan rombongan telah disambut dengan persembahan tarian suku kaum Selakau iaitu Tarian Wek Jongang.


Selepas menyaksikan persembahan tarian tersebut, peserta-peserta telah dibawa melawat ke sekitar sekolah oleh Puan Yong Wok Chin, Penolong Kanan I sekolah tersebut. Antara lokasi lawatan ialah bilik-bilik darjah, kelas prasekolah, bilik-bilik khas, pejabat dan bilik mesyuarat.


 
Selepas slot lawatan, peserta-peserta lawatan berkumpul di bilik mesyuarat bagi mendengar taklimat tentang latar belakang SK Paon Temaga yang disampaikan oleh Puan Yong. 

 
Selepas taklimat tersebut, sesi bertukar-tukar cenderamata telah disempurnakan oleh En Neleon Sayeng, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Serian.


Pada pukul 10.00 pagi, rombongan telah dijamu dengan hidangan kuih-muih dan kopi sebagai minum pagi.

 
Pada pukul 10.30 pagi, agenda diteruskan dengan slot perkongsian amalan terbaik bersama ketua-ketua panitia Bahasa Melayu, English, Matematik dan Sains.   

Pada pukul 11.00 pagi, peserta-peserta berkumpul semula di Bilik Mesyuarat bagi mendengar slot rumusan oleh pihak tuan rumah dan juga oleh pihak pelawat.

Selepas mendengar rumusan, peserta-peserta dijamu pula dengan makan tengahari yang enak dan menyelerakan.

Peserta-peserta meninggalkan kawasan SK Paon Temaga pada pukul 12.00 tengahari dan bergerak pulang ke Serian.

Secara keseluruhannya, program tersebut telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan. adalah diharapkan agar program seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa-masa yang akan datang.

Gambar-gambar sekitar lawatan tersebut


















Sunday 12 October 2014

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE BANDARAYA KUCHING PASCA UPSR 2014

  
12 Oktober 2014 (Ahad) - SK Kujang Sain telah menganjurkan program Lawatan Sambil Belajar Pasca UPSR ke Bandaraya Kuching pada 10, 11 dan 12 Oktober baru-baru ini. Lawatan tersebut telah disertai oleh seramai 4 orang murid Tahun 6 dan 7 orang murid Tahun 5 dengan 3 orang guru pengiring iaitu En Risharry Mohd Ramli, Cik Emily Uncho & Cik Rhona Gudem. Murid-murid telah berkumpul pada jam 11.30 pagi di hadapan kuarters guru. Tepat jam 12.00 tengahari, rombongan mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah. Rombongan tiba di perkarangan Bangunan DBKU di Bukit Siol, Kuching pada jam 2.30 petang. Murid-murid dan guru-guru pengiring pun bergerak ke Muzium Kucing yang terletak di dalam Bangunan DBKU.
 
Di dalam muzium tersebut, murid-murid telah melihat pelbagai pameran berkenaan spesis kucing dan perkaitannya dengan sejarah kehidupan manusia. Mereka juga telah membeli pelbagai cenderamata berkaitan kucing.

Pada jam 4.00 petang, murid-murid dan guru-guru pengiring tiba di Hotel Place2Stay@City Centre di Jalan Song Thian Cheok. Mereka mendaftar masuk dan menerima kunci bilik masing-masing.

 

Pada sebelah malamnya pula, iaitu pada jam 7.30 malam, peserta rombongan telah menjamu selera di Restoran Anuar Steambot, Persiaran Ban Hock yang terletak bersebelahan Hotel Telang Usan. Murid-murid menikmati pelbagai makanan yang dimasak oleh mereka sendiri. Setelah selesai menjamu selera, peserta rombongan pun kembali ke hotel pada jam 9.00 malam untuk berehat.
  

Keesokan harinya, peserta rombongan bergerak meninggalkan hotel pada jam 9.00 pagi untuk ke destinasi pertama pada hari tersebut iaitu Muzium Negeri Sarawak. 


Tepat pukul 10.00 pagi, peserta rombongan memasuki bangunan muzium dan melawat beberapa galeri seperti galeri mamalia, galeri reptilia, galeri ikan, galeri moluska, galeri rumah panjang, galeri senjata, galeri pengangkutan dan galeri peralatan. Selepas lawatan ke Muzium Negeri Sarawak, peserta rombongan bergerak merentasi Jalan Tun Abang Hj Openg menggunakan jejantas menuju ke Muzium Warisan Islam.

Di muzium tersebut, peserta rombongan telah melihat bahan-bahan pameran berkaitan Islam di beberapa buah galeri iaitu Galeri Sejarah Islam di Sarawak, Galeri Seni Rekabentuk Islam, Galeri Sains, Teknologi, Ekonomi, Pendidikan & Kesusasteraan, Galeri Kostum, Muzik & Barangan Peribadi, Galeri Persenjataan, Galeri Seni Hiasan & Alat-Alat Domestik dan Galeri Koleksi Kitan Al-Quran. Pada pukul 11.45 pagi, peserta rombongan bergerak ke Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka bagi menikmati makan tengahari di Restoran McDonald's. 
  
Di sana, murid-murid dan guru-guru pengiring telah dijamu dengan set McValue Lunch berupa Burger McChicken, Kentang Goreng dan air Coca-Cola. Set makan tengahari tersebut telah ditaja oleh McDonald's Malaysia.







Selesai menikmati makan tengahari, iaitu pada pukul 1.00 petang, peserta rombongan kemudiannya bergerak ke Muzium Tekstil di sebelah Plaza Merdeka. 

Di muzium tersebut, murid-murid menyaksikan bahan-bahan pameran berkaitan tekstil dan busana asli tempatan yang ditenun dan dipakai oleh masyarakat bumiputera dan masyarakat pendatang di Sarawak.

Destinasi seterusnya ialah Muzium Sejarah Cina Sarawak di Tebingan Kuching. Sejurus tiba di situ pada jam 1.45 tengahari, peserta rombongan bergerak masuk ke muzium tersebut yang asalnya merupakan bangunan mahkamah bagi masyarakat Cina di Kuching pada suatu masa dahulu. 




Muzium tersebut mempamerkan pelbagai bahan pameran berkaitan sejarah kedatangan orang Cina ke Sarawak, adat-resam dan cara hidup, pendidikan serta kegiatan ekonomi masyarakat Cina di Sarawak. Setelah berkunjung ke Muzium Cina Sarawak, peserta rombongan melintasi Jalan Main Bazaar untuk ke beberapa kedai yang menjual barangan cenderamata yang terdapat di sepanjang jalan tersebut. Pelbagai produk cenderamata telah dibeli mereka seperti rantai kunci, magnet peti sejuk dan rantai leher. Pada sebelah malamnya pula, iaitu pada jam 7.30 malam, peserta rombongan telah menjamu selera di Medan Selera Food Heaven di Aras 3, Plaza Merdeka. 



Murid-murid menikmati pelbagai makanan yang dibeli oleh mereka sendiri. Setelah selesai menjamu selera, peserta rombongan pun kembali ke hotel untuk berehat pada pukul 9.00 malam.

Pada keesokan harinya iaitu pada jam 8.30 pagi, peserta rombongan telah bersiap dan mendaftar keluar dari bilik penginapan mereka. Setelah selesai urusan daftar keluar, rombongan pun bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Planetarium Sultan Iskandar di Dewan Suarah Kuching, Jalan Taman Budaya. 



Tepat pukul 9.30 pagi, peserta rombongan bergerak masuk ke Teater PSI untuk menyaksikan tayangan filem angkasa. 









Peserta rombongan telah berpeluang menonton beberapa tayangan filem berkaitan astronomi dan sains angkasa seperti Losing The Dark dan Larry Cat in Space. Setelah tamat menonton filem, iaitu pada pukul 10.30 pagi, peserta rombongan bergerak meninggalkan Planetarium Sultan Iskandar untuk ke destinasi seterusnya iaitu Kampung Budaya Sarawak di Santubong.


 
Setibanya di Kampung  Budaya Sarawak, iaitu pada jam 11.15 pagi, murid-murid dan guru-guru pengiring bergerak ke pintu masuk Kampung Budaya Sarawak untuk mengambil tiket masing-masing. Setelah mengambil tiket, mereka pun bergerak ke Auditorium Utama untuk menyaksikan persembahan kebudayaan yang berlangsung selama 45 minit. Pelbagai persembahan tarian dari pelbagai suku kaum utama di Sarawak seperti Ngajat Lesung (Iban), Rejang Beuh (Bidayuh) dan pebagai lagi. 


  
Setelah menyaksikan persembahan kebudayaan, peserta rombongan pun mula mengeksplorasi setiap rumah etnik-etnik yang terdapat di Sarawak seperti Rumah Panjang dan Baruk Bidayuh, Rumah Panjang Iban, Rumah Orang Ulu, Rumah Tinggi Melanau, Pondok Penan, Rumah Melayu dan Rumah Kebun Cina. 





Sebelum meninggalkan Kampung Budaya Sarawak, peserta rombongan telah singgah di kedai cenderamata SCV bagi membeli cenderamata seperti topi, rantai kunci dan sumpit mini. Rombongan meninggalkan Kampung Budaya Sarawak pada jam 1.45 petang. Destinasi terakhir sebelum bergerak pulang ke sekolah ialah Medan Selera Kompleks Islam Sarawak bagi makan tengahari. 



Peserta rombongan telah menjamu selera di Restoran Singapore Chicken Rice di Aras 3 Kompleks Islam Sarawak. 






Rombongan bergerak meninggalkan Kompleks Islam Sarawak pada jam 3.00 petang dan akhirnya tiba di perkarangan SKKS pada jam 5.00 petang. Secara keseluruhannya, penganjuran program ini telah berjaya mencapai objektif-objektif seperti yang terkandung di dalam proposal program. Peserta-peserta lawatan didapati gembira dan teruja di setiap destinasi yang dikunjungi. Diharapkan agar program lawatan ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang.
  
Gambar-gambar sekitar lawatan ke Bandaraya Kuching