Thursday, 19 June 2014

KURSUS PEMANTAPAN PEDAGOGI P&P SAINS BAGI GURU-GURU SAINS SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH DAERAH SERIAN

 
18 Jun 2014 (Rabu) - Unit Pengurusan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Serian telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pedagogi Dalam Pengajaran & Pembelajaran Sains Tahap II bagi guru-guru Sains tahap II daerah Serian, bertempat di SJKC Chung Hua Batu 35. Penganjuran kursus tersebut adalah bagi memperkukuhkan lagi pemahaman guru-guru Sains tentang Kemahiran Proses Sains (KPS), Kemahiran Manipulatif Sains (KMS) dan Pendidikan Sains Berasaskan Inkuiri (Inquiry Base Science Education, IBSE). Sebagai nilai tambah, peserta-peserta kursus juga telah diperkenalkan dengan konsep Komuniti Pembelajaran Professional (Professional Learning Community, PLC).

Sejak pukul 7.30 pagi, peserta-peserta mula mendaftarkan diri di meja pendaftaran. Setiap peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan yang terdiri dari 10  orang guru. Setelah mendaftar, peserta-peserta ditempatkan di dalam kumpulan yang telah ditetapkan.


Tepat jam 8.00 pagi, Slot 1 mengambil tempat di mana Penolong Penyelia UPA PPD Serian, Cik Lilian Rayom menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan kursus seperti pengisian borang PK-05, borang PK-06 dan borang tuntutan perjalanan. Beliau juga mengingatkan peserta kursus supaya menimba seberapa banyak ilmu dari input-input yang akan disampaikan oleh dua orang Jurulatih Utama Sains Daerah Serian iaitu Encik Risharry Mohd Ramli dan Puan Sinah Robinson.


Slot 2 dimulakan tepat pada pukul 8.30 pagi dengan pembentangan oleh Encik Risharry Mohd Ramli berkenaan amalan Komuniti Pembelajaran Professional atau Professional Learning Community (PLC). Beliau telah menerangkan tentang latar belakang PLC yang telah lama diamalkan di sekolah-sekolah di negara-negara barat dan Jepun.Menurut Rosenholtz (1989) dan Eaker & Many (2006),PLC merupakan sekumpulan pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan dalam usaha membuat inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka. Menurut beliau, prisip asas PLC ialah memastikan pembelajaran murid, budaya kolaboratif dan fokus kepada pencapaian. Beliau menambah lagi bahawa terdapat 5 elemen kritikal PLC bagi penambahbaikan sekolah iaitu Dialog Reflektif (Reflective Dialogue), Penyahswastaan Amalan (De-Privatization of Practice), Fokus Secara Kolektif Terhadap Pembelajaran Murid (Collective Focus on Student Learning) dan Kolaborasi (Collaboration). Sepanjang pembentangan, beliau telah menayangkan beberapa video yang menunjukkan amalan-amalan PLC di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Amerika Syarikat.

Setelah tamat slot yang pertama, peserta-peserta telah diberi masa selama 5 minit bagi mengisi pra ujian yang mentaksir sejauh mana pemahaman guru-guru tentang KPS, KMS, KBAT dan IBSE.

Peserta-peserta berhenti untuk minum pagi pada jam 10.00 pagi.


Slot 3 diteruskan pada pukul 10.30 pagi dengan pembentangan berkenaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Pembentangan ini juga dikendalikan oleh Encik Risharry Mohd Ramli. Belia memulakan pembentangan beliau dengan mengingatkan kembali guru-guru tentang KBAT dan KBAR seperti yang terdapat di dalam Taksonomi Bloom. KBAR ialah mengingat dan memahami, manakala KBAT ialah aplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.Di dalam slot ini, peserta-peserta turut terlibat secara aktif apabila diminta untuk membina soalan-soalan KBAT setelah menonton dua buah video iaitu 'Si Tanggang' dan 'Miyoko Shida'. Slot ini berjalan dalam suasana ceria dan santai. 



Slot 4 menyusul pada pukul 12.00 tengahari. Slot ini dikendalikan oleh Puan Sinah Robinson. Beliau memulakan slot ini dengan menyampaikan beberapa maklumat berkaitan KPS dan KMS. Beliau kemudiannya membuat pembentangan ringkas berkenaan IBSE dan jenis-jenis inkuiri yang boleh diamalkan sewaktu proses P&P iaitu inkuiri berstruktur, inkuiri berpandu, inkuiri pengesahan dan inkuiri terbuka. Setelah mendengar pembentangan tersebut, peserta-peserta mula bergerak secara berkumpulan menuju ke stesen-stesen (berlabel kuning) 1 hingga 5 bagi KPS dan KMS, dan stesen-stesen (berlabel hijau) 1 hingga 4 bagi IBSE.



KPS & KMS
Stesen 1: Siapa Curi Air Saya?
Stesen 2: Bebaskan Saya!!!
Stesen 3: Mari Kita Lihat Siapa Yang Kena!
Stesen 4: Kismis Menari.
Stesen 5: Kembangkan Saya








IBSE
Stesen 1: Minuman Berkarbonat Terapung
Stesen 2: Awan Berwarna
Stesen 3: Air dan Minyak
Stesen 4: Bunga Masa Depan








Kursus berhenti rehat pada pukul 1.00 petang bagi makan tengahari.

Kursus diteruskan pada pukul 2.00 petang dengan Slot 5 iaitu peserta-peserta meneruskan aktiviti-aktiviti sains di stesen-stesen yang masih belum terlaksana. Setelah selesai melaksanakan semua aktiviti-aktiviti sains di setiap stesen, peserta-peserta kembali ke kumpulan masing-masing bagi menyediakan pembentangan mereka dalam bentuk Power Point. 




Sesi pembentangan dimulakan pada pukul 3.00 petang. Setiap kumpulan bergilir-bergilir hasil dapatan mereka semasa melaksanakan setiap aktiviti sains di setiap stesen. Mereka juga membentangkan hasil kerja kumpulan mereka iaitu menara dari kertas surat khabar dan bunga masa depan. Sesi pembentangan ini berjalan dalam suasana yang penuh serius, tetapi diselang-selikan juga dengan unsur-unsur lelucon dan kecindan apabila setiap kumpulan cuba mengenengahkan hasil rekaan kumpulan mereka sebagai rekaan yang terbaik.

Pada pukul 4.15 petang, semua kumpulan telah selesai membentangkan hasil dapatan aktiviti sains dan hasil rekaan mereka. Kedua-dua jurulatih utama iaitu Encik Risharry Mohd Ramli dan Puan Sinah Robinson membentangkan rumusan mereka terhadap semua aktiviti yang telah dijalankan sepanjang sehari berkursus. Selepas JU menyampaikan rumusan mereka, Cik Lilian Rayom pula berucap ringkas dengan menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada kedua-dua orang JU kerana telah sudi mengendalikan kursus tersebut. Sebagai penghargaan kepada kdua-dua JU, Cik Lilian telah mempersilakan En Henry J dari SK Temong untuk menyampaikan cenderahati kepada kedua-dua orang Jurulatih Utama. Setelah penyampaian cenderahati, peserta-peserta pun bersurai dan pulang ke rumah masing-masing.

Secara keseluruhannya, kursus tersebut telah berjaya meningkatkan pemahaman guru-guru sains sekolah rendah daerah Serian tentang kepentingan soalan-soalan KBAT bagi meransang minat murid terhadap sesuatu topik sains yang ingin diajar. Guru-guru juga dapat mengenalpasti KPS dan KMS yang terlibat sewaktu menjalankan aktiviti-aktiviti sains. Mereka juga membezakan antara keempat-empat jenis inkuiri iaitu inkuiri berstruktur, inkuiri berpandu, inkuiri pengesahan dan inkuiri terbuka. Pihak UPA PPD Serian mengharapkan agar segala input yang diterima semasa berkursus dapat diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran sains di sekolah masing-masing.

Gambar-gambar semasa berkursus




























 







Tuesday, 27 May 2014

SELAMAT BERCUTI & SELAMAT HARI GAWAI DAYAK 2014


27 Mei 2014 (Selasa) - Mulai esok, sekolah akan bercuti selama 3 minggu bermula dari 28 Mei hingga 15 Jun. Warga SKKS dari etnik Bidayuh dan Iban pula akan menyambut Hari Gawai Dayak pada 1 Jun 2014. Blogger mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bercuti kepada semua warga SKKS. Bagi warga SKKS berbangsa Iban dan Bidayuh, blogger ira mengucapkan 'Selamat Andu Gawai'. Kepada yang akan memandu ke kampung halaman, teban muto sien kie-kie yah!

Sunday, 18 May 2014

SAMBUTAN HARI GURU SKKS EDISI 2014


16 Mei 2014 (Jumaat) - Pada hari ini, SK Kujang Sain telah menganjurkan sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Pada tahun ini, tema sambutan Hari Guru ialah "Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi".

Sambutan dimulakan dengan perhimpunan para guru dan murid-murid di hadapan kuarters guru merangkap tapak perhimpunan. En Risharry Mohd Ramli telah diberi penghormatan sebagai pengerusi majlis. 

Bagi memberkati majlis, adik Maxentius Maclister telah sudi mengetuai bacaan doa 'Amang Emi'.

Seterusnya murid-murid dan para guru berdiri tegak bersama-sama bagi menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku' dan lagu sekolah 'Bersatu Tuju Wawasan'. Selepas nyanyian kedua-dua lagu tersebut, para guru pula meneruskan lagi sesi nyanyian dengan menyanyikan lagu rasmi profesion perguruan iaitu 'Guru Malaysia' dan lagu 'Pendidik Bumi Kenyalang' dengan penuh bersemangat.


Majlis diteruskan lagi dengan ucapan wakil guru besar iaitu En Barnabas Tanggai, Penolong Kanan I SK Kujang Sain. Dalam ucapan beliau, beliau telah menegaskan akan kepentingan profesion perguruan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini hanya dapat berlaku sekiranya para guru berjaya mendidik murid-murid untuk menjadi modal insan yang sempurna dan lengkap dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

 
Ucapan seterusnya ialah dari wakil guru, En James Jota. Beliau mengingatkan murid-murid supaya menghormati guru sepanjang masa. Beliau juga mengingatkan murid-murid supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjadikan keputusan cemerlang yang diperolehi itu sebagai hadiah Hari Guru yang paling bernilai buat seorang guru.


Slot persembahan murid pula menyaksikan murid-murid Tahun 4 dengan bimbingan En Jovinus Ahjam mempersembahkan sebuah nyanyian Bahasa Inggeris berdasarkan melodi lagu 'Are You Sleeping'.

Selepas majlis perhimpunan ditangguhkan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Sarawak 'Ibu Pertiwiku', slot sukaneka pula mengambil tempat. Slot tersebut dikendalikan oleh En Abdul Halim Muazzam Syah dan En Kohong Baluh.

 
 
Di dalam slot sukaneka, murid-murid dan para guru sama-sama bertarung untuk mengutip mata dalam acara membawa telur dalam sudu, memancing 'ikan', mengisi air dalam botol menggunakan tangan dan lari dalam guni. Pasukan guru memenangi acara sukaneka ini dengan memenangi 3 dari 4 acara yang dipertandingkan.



Selesai acara sukaneka, murid-murid beratur dalam satu bulatan besar dan bergerak beramai-ramai untuk bersalam-salaman dengan para guru sambil mengucapkan ucapan 'Selamat Hari Guru'. Terdapat juga murid-murid yang mengambil kesempatan ini untuk memberi hadiah peribadi kepada guru kesayangan mereka.

Selepas bersalam-salaman dengan murid-murid, para guru pun bergerak ke Balai RMT bagi menikmati jamuan makan tengahari yang disediakan para guru dan staf sokongan.



Sambutan Hari Guru Edisi 2014 ini walaupun disambut dalam skala kecil tetapi telah berjaya mencapai matlamatnya untuk menghargai perjuangan warga pendidik di SK Kujang Sain. Semoga sambutan pada tahun-tahun yang mendatang akan menjadi lebih meriah dan ceria.

 Gambar-gambar di sekitar sambutan Hari Guru SKKS 2014