Wednesday 31 July 2013

JALAN RIA 10000 LANGKAH

31 Julai 2013 (Rabu) - SK Kujang Sain telah menganjurkan program 'Jalan Ria 10000 Langkah'. Program ini merupakan program berjalan kaki beramai-ramai melibatkan semua murid bermula dari Prasekolah hingga Tahun 6. 


Program dimulakan dengan sedikit taklimat ringkas oleh Penolong Kanan Ko-Kurikulum, En Jovinus Ahjam. Dalam taklimat tersebut, beliau telah menerangkan kepada murid-murid tentang objektif program ini diadakan. 



Sesi seterusnya ialah sesi memanas badan yang dikendalikan oleh En Abdul Halim Muazzam Shah. Murid-murid kelihatan seronok dengan aksi-aksi dan gerakan-gerakan memanas badan yang didemonstrasikan oleh En Abdul Halim.



Tepat jam 7.50 pagi, murid-murid dan guru-guru pun memulakan sesi jalan kaki mereka. Sepanjang perjalanan, murid-murid dan guru-guru telah berpeluang menyaksikan keindahan kampung dan menghirup udara pagi yang sungguh nyaman dan tenang.



Setibanya di tapak pembinaan jambatan Pebu pada jam 8.20 pagi, murid-murid berhenti untuk rehat seketika, sambil meminum air dan memakan biskut yang disediakan oleh pihak sekolah. Perjalanan disambung semula dan akhirnya tiba semula ke sekolah pada jam 9.05 pagi.




Dapat dirumuskan bahawa program ini berjaya menerapkan kepada murid-murid akan peri pentingnya aktiviti berjalan kaki sebagai salah satu cara untuk memantapkan lagi kesihatan fizikal dan mental kita. Semoga aktiviti seperti ini akan dapat diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang.


 

Monday 29 July 2013

SUMBANGAN MINUMAN MILO OLEH NESTLE (MALAYSIA) BERHAD

29 Julai 2013 (Isnin) - SK Kujang Sain telah dikejutkan dengan kedatangan sebuah lori hijau sekitar jam 11.00 pagi. Rupanya lori tersebut ialah lori kepunyaan Nestle (Malaysia) Berhad yang telah sudi datang ke sekolah kita untuk mengagihkan minuman coklat berjenama MILO, secara PERCUMA!

Murid-murid dengan iringan guru kelas masing-masing telah turun ke bawah bagi menikmati minuman tersebut. 


Selain minuman percuma, murid-murid juga telah diagihkan dengan pembaris pendek percuma yang beridentitikan MILO. Adik Swelan Ambros Nelson telah dipertanggungjawabkan untuk mengagihkan pembaris-pembaris tersebut.


Guru-guru juga tidak terkecuali dari menikmati minuman tersebut. Walau bagaimanapun, En Abdul Halim dan En Risharry tidak turut minum bersama kerana berpuasa. Sungguhpun begitu, kedua-dua guru tersebut masih bersama-sama memberikan sokongan moral kepada aktiviti tersebut

  

Setelah pengagihan minuman MILO selesai, lori tersebut pun beredar meninggalkan perkarangan SK Kujang Sain. Adakah mereka akan datang lagi pada masa-masa yang akan datang? Sama-samalah kita lihat...

Sunday 28 July 2013

HARI JADI EN JOVINUS AHJAM KE-36


31 Julai 2013 (Rabu) - Selamat Hari Jadi diucapkan kepada Penolong Kanan Ko-Kurikulum, En Jovinus Ahjam. Semoga beliau terus mencapai kecemerlangan dalam apa saja yang beliau usahakan. Berusia 36 tahun, suami kepada Christine Mamem ini merupakan anak jati Kampung Gahat Mawang.

SELAMAT DATANG CIK RHONA GUDEM KE SK KUJANG SAIN.

22 Julai 2013 (Isnin) - SK Kujang Sain telah menerima kedatangan seorang guru baru. Beliau ialah Cik Rhona Gudem, berusia 34 tahun, berasal dari Kampung Semukoi A, Serian. 

Beliau  merupakan lepasan Maktab Perguruan Rajang pada tahun 2002, dengan opsyen major Bahasa Inggeris (TESL) dan minor Kajian Tempatan. Beliau kemudiannya berjaya mendapat ijazah Bacelor Pendidikan (Kep.) Dalam Pengajaran Bahasa Inggeris dari Universiti Terbuka Malaysia pada tahun 2009.

Penempatan pertama beliau ialah di SK Bukit Balai, Sebauh. Antara jawatan yang pernah beliau sandang semasa berkhidmat di SK Bukit Balai ialah Guru Kelas, Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Guru Perpustakaan dan Bendahari PIBG. Beliau berkhidmat selama 11 tahun di sana sebelum ditukarkan ke SK Kujang Sain bermula dari 1 Julai 2013.

Pihak sekolah mengucapkan selamat datang kepada beliau dan berharap semoga beliau gembira berkhidmat di sini. 

Sunday 21 July 2013

PROGRAM PEMANTAPAN PEDAGOGI DALAM P & P SAINS



16 Julai 2013 (Selasa) - Unit Pengurusan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Serian telah menganjurkan Program Pemantapan Pedagogi Dalam P&P Sains. Program tersebut telah dijalankan di SJKC Chung Hua Batu 35.

SK Kujang Sain telah diwakili oleh guru Sains Tahap II, En Risharry Mohd Ramli.

Taklimat perjalanan program telah disampaikan oleh Puan Lilian Rayom, Penolong Penyelia di Unit Pengurusan Akademik, PPD Serian.

Antara pengisian semasa program tersebut ialah ceramah berkenaan Kemahiran Proses Sains. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh dua orang Jurulatih Utama Sains daerah Serian iaitu Pn Sinah dan Pn Francesca. 

Guru-guru Sains daerah Serian telah berbengkel bagi menghasilkan pembentangan tentang aplikasi KPS Pengkelasan, Pemerhatian dan Inferens.

Pada sebelah petang, peserta program seterusnya berbengkel pula tentang KEBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi).

Peserta-peserta bersurai pada jam 4.00 petang. 

  

HARI JADI EN RISHARRY MOHD RAMLI KE-34


13 Julai 2013 (Sabtu) - Selamat Hari Jadi diucapkan kepada En Risharry Mohd Ramli. Semoga dirahmati Allah sepanjang beliau berkhidmat di SK Kujang Sain. Beliau dilahirkan 34 tahun yang lalu di Bandaraya Melaka, Melaka.

HARI JADI EN MAZUAN CHE MOHAMED KE-30



12 Julai 2013 (Jumaat) - Selamat Hari Jadi diucapkan kepada En Mazuan Che Mohamed. Semoga panjang umur dan murah rezeki. Beliau dilahirkan 30 tahun yang lalu di Pasir Mas, Kelantan.

MAJLIS PERPISAHAN EN MAZUAN CHE MOHAMED & EN MARWAN MOHAMAD


 
9 Julai 2013 (Rabu) - Satu majlis bagi meraikan perpindahan dua orang guru iaitu En Mazuan Che Mohamed dan En Marwan Mohamad telah diadakan di kelas prasekolah. 

Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh adik Swelan Ambros Nelson dan diikuti pula dengan kata-kata aluan oleh pengerusi majlis iaitu En Risharry Mohd Ramli. 

Seterusnya giliran wakil guru, En James Jota menyampaikan ucapan penghargaan beliau kepada yang diraikan. 




Ini disusuli pula dengan ucapan oleh guru besar, En Awang Jolkipali Awang Seriee. Dalam ucapan beliau, tuan guru besar telah merakamkan penghargaan yang tak terhingga kepada kedua-dua orang guru tersebut di atas jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan kepada sekolah selama 5 tahun mereka berkhidmat di sekolah ini. 



Dalam ucapan balas mereka,En Mazuan telah melahirkan perasaan bercampur-campur beliau apabila permohonan pertukaran beliau diluluskan. Gembira kerana akhirnya dapat berada dekat keluarga tercinta tetapi hiba kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan dan anak-anak murid yang telah didampingi selama 5 tahun.


En Marwan pula dalam ucapannya telah menukilankan beberapa nasihat kepada anak-anak didiknya terutama bakal calon-calon UPSR agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita idaman. Kedua-dua guru tersebut telah dihadiahkan sebuah pasu bermotifkan seni ukir Sarawak sebagai tanda kenang-kenangan oleh pihak sekolah. Majlis kemudiannya telah dipertontonkan dengan tayangan video yang mengimbas perjalanan karier perguruan En Mazuan & En Marwan sepanjang mereka berkhidmat di SKKS.


Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengahari di ruang makan prasekolah.