Wednesday 25 June 2014

TAKLIMAT SARANA PIBG TENTANG PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS), PENTAKSIRAN TINGKATAN 3 (PT3) DAN PENTAKSIRAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)


25 Jun 2014 (Rabu) - Unit Penilaian & Peperiksaan PPD Serian dengan kerjasama Lembaga Peperiksaan Malaysia telah menganjurkan Taklimat Sarana PIBG Tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Taklimat tersebut diadakan di Dewan SJKC Chung Hua Serian. Peserta-peserta taklimat terdiri daripada Yang diPertua, Naib Yang diPertua atau Setiausaha PIBG di setiap sekolah rendah dan menengah di daerah Serian. PIBG SK Kujang Sain telah diwakili oleh setiausahanya iaitu En Risharry Mohd Ramli.

 
Acara dimulakan pada pukul 8.00 pagi dengan sedikit taklimat ringkas program oleh Encik Patrick Modol, Ketua Unit Penilaian & Peperiksaan PPD Serian. 


Selesai memberi taklimat, En Patrick mempersilakan Puan Hajah Noriza Mohd Nor dari Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi menyampaikan taklimat beliau berkenaan PBS, PT3 dan pentaksiran KBAT.

Selesai sesi taklimat tersebut, peserta-peserta diberi peluang untuk mengemukakan soalan atau kemusykilan mereka kepada Puan Hajah Noriza. Beliau telah cuba menjawab kesemua soalan yang dikemukakan dengan sebaik mungkin.

Sesi taklimat tersebut tamat pada pukul 12.00 tengahari. Sebelum bersurai, para peserta telah dibekalkan dengan makanan tengahari berbungkus berupa nasi ayam dan minuman air berbotol.  

 


SEMINAR INTEGRITI WARGA PENDIDIK 2014


24 Jun 2014 (Selasa) - Pejabat Pendidikan Daerah Serian dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah menganjurkan Seminat Integriti Warga Pendidik bagi warga pendidik Daerah Serian. Seminar tersebut diadakan di Dewan SJKC Chung Hua Serian.

 
Warga pendidik mula memenuhi bilik mesyuarat sejak jam 1.30 petang. Tepat pukul 2.00 petang, acara dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Hanapie dari SK Tepoi. Kemudian, semua warga pendidik bersam-sama melafazkan Ikrar Integriti Malaysia yang dipimpin oleh En Ramayan.

En Barnabas Jubang, Penyelia Unit Pengurusan Organisasi PPD Serian meneruskan pula acara pada petang tersebut dengan menyampaikan sedikit maklumat ringkas tentang perjalanan seminar.

Selesai memberi taklimat, En Barnabas mempersilakan Pn Mordiana, Ketua Unit di Sektor Psikologi & Kaunseling JPN Sarawak bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Pembudayaan Integriti Dalam Pendidikan'.


Sebagai penghargaan kepada penceramah, pihak PPD Serian telah menghadiahkan sebuah pasu kepada Pn Mordiana sebagai tanda kenang-kenangan.

Selesai sahaja mendengan ceramah, semua peserta seminar turun ke pentas utama dewan bagi sesi bergambar beramai-ramai. Sebelum bergerak pulang ke rumah masing-masing, para guru telah dibekalkan dengan sedikit makanan berbungkus berupa nasi ayam penyet dan air minuman berbotol.
 

TAKLIMAT KOMUNIKASI PROGRAM TRANSFORMASI DAERAH (DTP) PERINGKAT ZON TEBEDU

 
23 Jun 2014 (Isnin) - Pejabat Pendidikan Daerah Serian telah mengadakan Taklimat Komunikasi Program Transformasi Daerah (DTP) untuk warga pendidik Zon Tebedu. Taklimat tersebut diadakan di Dewan Serbaguna SMK Tebedu.

Bermula dari pukul 1.30 petang, warga pendidik Zon Tebedu dari 13 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah telah mendaftar kehadiran mereka di meja pendaftaran yang dikendalikan oleh beberapa staf sokongan PPD Serian.

Tepat pukul 2.00 petang, En Pelias Pog, Pegawai SISC+ (Matematik) dari Unit Pengurusan Akademik PPD Serian memulakan acara dengan menyampaikan taklimat ringkas tentang perjalanan program tersebut. Selesai taklimat, guru-guru diminta untuk menjawab praujian berkenaan DTP yang telah diedarkan sebelum itu. 



Setelah menjawab praujian tersebut, En Pelias seterusnya mempersilakan penceramah untuk slot 1 dan slot 2 iaitu En Neleon Sayeng, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Serian. Ceramah beliau berkisar tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. 


Slot 3 pula dikendalikan oleh En Pelias sendiri. Beliau membentangkan tentang peranan guru dalam menjayakan PPPM di peringkat sekolah.


Slot 4 dikendalikan oleh Pegawai SIP+ PPD Serian. Slot beliau lebih menumpukan kepada konsep sekolah berkesan dan peranan pentadbir dalam menjayakan sekolah.

Sesi taklimat tersebut berakhir pada pukul 4.30 petang.


Sunday 22 June 2014

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU 2014 & ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2013 PERINGKAT DAERAH SERIAN


20 Jun 2014 (Jumaat) - Majlis Sambutan Hari Guru 2014 & Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Daerah Serian telah diadakan di Grand Imperial Ballroom, Hotel Imperial, Jalan Datuk Tawi Sli, Kuching. 


Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Snowdan Lawan, Ahli Dewan Undangan Negeri N25 Balai Ringin.


En Risharry Mohd Ramli telah diberi penghormatan untuk mewakili En Awang Jolkipali Awang Seriee, Guru Besar SKKS pada majlis tersebut. 


Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2013 bagi SK Kujang Sain telah dianugerahkan kepada En Baynard Sawun. Semasa di SKKS, beliau merupakan guru Matematik Tahun 3, 5 dan 6. Beliau telah berjaya mengekalkan pencapaian kelulusan 100% bagi matapelajaran Matematik dalam peperiksaan UPSR bagi tahun 2011, 2012 dan 2013. Beliau juga merupakan Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), guru kelas tahun 5 dan Pegawai Aset Sekolah. Di peringkat daerah, beliau merupakan Jurulatih Utama (JU) bagi matapelajaran Teknologi Maklumat & Komunikasi (TMK). Atas kepakaran beliau dalam Matematik, beliau telah dilantik sebagai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) Matematik mulai Mac 2014 dan telah ditempatkan di Unit Pengurusan Akademik PPD Serian. Tahniah kepada beliau.


Gambar sekitar majlis



Thursday 19 June 2014

KURSUS PEMANTAPAN PEDAGOGI P&P SAINS BAGI GURU-GURU SAINS SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH DAERAH SERIAN

 
18 Jun 2014 (Rabu) - Unit Pengurusan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Serian telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pedagogi Dalam Pengajaran & Pembelajaran Sains Tahap II bagi guru-guru Sains tahap II daerah Serian, bertempat di SJKC Chung Hua Batu 35. Penganjuran kursus tersebut adalah bagi memperkukuhkan lagi pemahaman guru-guru Sains tentang Kemahiran Proses Sains (KPS), Kemahiran Manipulatif Sains (KMS) dan Pendidikan Sains Berasaskan Inkuiri (Inquiry Base Science Education, IBSE). Sebagai nilai tambah, peserta-peserta kursus juga telah diperkenalkan dengan konsep Komuniti Pembelajaran Professional (Professional Learning Community, PLC).

Sejak pukul 7.30 pagi, peserta-peserta mula mendaftarkan diri di meja pendaftaran. Setiap peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan yang terdiri dari 10  orang guru. Setelah mendaftar, peserta-peserta ditempatkan di dalam kumpulan yang telah ditetapkan.


Tepat jam 8.00 pagi, Slot 1 mengambil tempat di mana Penolong Penyelia UPA PPD Serian, Cik Lilian Rayom menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan kursus seperti pengisian borang PK-05, borang PK-06 dan borang tuntutan perjalanan. Beliau juga mengingatkan peserta kursus supaya menimba seberapa banyak ilmu dari input-input yang akan disampaikan oleh dua orang Jurulatih Utama Sains Daerah Serian iaitu Encik Risharry Mohd Ramli dan Puan Sinah Robinson.


Slot 2 dimulakan tepat pada pukul 8.30 pagi dengan pembentangan oleh Encik Risharry Mohd Ramli berkenaan amalan Komuniti Pembelajaran Professional atau Professional Learning Community (PLC). Beliau telah menerangkan tentang latar belakang PLC yang telah lama diamalkan di sekolah-sekolah di negara-negara barat dan Jepun.Menurut Rosenholtz (1989) dan Eaker & Many (2006),PLC merupakan sekumpulan pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan dalam usaha membuat inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka. Menurut beliau, prisip asas PLC ialah memastikan pembelajaran murid, budaya kolaboratif dan fokus kepada pencapaian. Beliau menambah lagi bahawa terdapat 5 elemen kritikal PLC bagi penambahbaikan sekolah iaitu Dialog Reflektif (Reflective Dialogue), Penyahswastaan Amalan (De-Privatization of Practice), Fokus Secara Kolektif Terhadap Pembelajaran Murid (Collective Focus on Student Learning) dan Kolaborasi (Collaboration). Sepanjang pembentangan, beliau telah menayangkan beberapa video yang menunjukkan amalan-amalan PLC di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Amerika Syarikat.

Setelah tamat slot yang pertama, peserta-peserta telah diberi masa selama 5 minit bagi mengisi pra ujian yang mentaksir sejauh mana pemahaman guru-guru tentang KPS, KMS, KBAT dan IBSE.

Peserta-peserta berhenti untuk minum pagi pada jam 10.00 pagi.


Slot 3 diteruskan pada pukul 10.30 pagi dengan pembentangan berkenaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Pembentangan ini juga dikendalikan oleh Encik Risharry Mohd Ramli. Belia memulakan pembentangan beliau dengan mengingatkan kembali guru-guru tentang KBAT dan KBAR seperti yang terdapat di dalam Taksonomi Bloom. KBAR ialah mengingat dan memahami, manakala KBAT ialah aplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.Di dalam slot ini, peserta-peserta turut terlibat secara aktif apabila diminta untuk membina soalan-soalan KBAT setelah menonton dua buah video iaitu 'Si Tanggang' dan 'Miyoko Shida'. Slot ini berjalan dalam suasana ceria dan santai. 



Slot 4 menyusul pada pukul 12.00 tengahari. Slot ini dikendalikan oleh Puan Sinah Robinson. Beliau memulakan slot ini dengan menyampaikan beberapa maklumat berkaitan KPS dan KMS. Beliau kemudiannya membuat pembentangan ringkas berkenaan IBSE dan jenis-jenis inkuiri yang boleh diamalkan sewaktu proses P&P iaitu inkuiri berstruktur, inkuiri berpandu, inkuiri pengesahan dan inkuiri terbuka. Setelah mendengar pembentangan tersebut, peserta-peserta mula bergerak secara berkumpulan menuju ke stesen-stesen (berlabel kuning) 1 hingga 5 bagi KPS dan KMS, dan stesen-stesen (berlabel hijau) 1 hingga 4 bagi IBSE.



KPS & KMS
Stesen 1: Siapa Curi Air Saya?
Stesen 2: Bebaskan Saya!!!
Stesen 3: Mari Kita Lihat Siapa Yang Kena!
Stesen 4: Kismis Menari.
Stesen 5: Kembangkan Saya








IBSE
Stesen 1: Minuman Berkarbonat Terapung
Stesen 2: Awan Berwarna
Stesen 3: Air dan Minyak
Stesen 4: Bunga Masa Depan








Kursus berhenti rehat pada pukul 1.00 petang bagi makan tengahari.

Kursus diteruskan pada pukul 2.00 petang dengan Slot 5 iaitu peserta-peserta meneruskan aktiviti-aktiviti sains di stesen-stesen yang masih belum terlaksana. Setelah selesai melaksanakan semua aktiviti-aktiviti sains di setiap stesen, peserta-peserta kembali ke kumpulan masing-masing bagi menyediakan pembentangan mereka dalam bentuk Power Point. 




Sesi pembentangan dimulakan pada pukul 3.00 petang. Setiap kumpulan bergilir-bergilir hasil dapatan mereka semasa melaksanakan setiap aktiviti sains di setiap stesen. Mereka juga membentangkan hasil kerja kumpulan mereka iaitu menara dari kertas surat khabar dan bunga masa depan. Sesi pembentangan ini berjalan dalam suasana yang penuh serius, tetapi diselang-selikan juga dengan unsur-unsur lelucon dan kecindan apabila setiap kumpulan cuba mengenengahkan hasil rekaan kumpulan mereka sebagai rekaan yang terbaik.

Pada pukul 4.15 petang, semua kumpulan telah selesai membentangkan hasil dapatan aktiviti sains dan hasil rekaan mereka. Kedua-dua jurulatih utama iaitu Encik Risharry Mohd Ramli dan Puan Sinah Robinson membentangkan rumusan mereka terhadap semua aktiviti yang telah dijalankan sepanjang sehari berkursus. Selepas JU menyampaikan rumusan mereka, Cik Lilian Rayom pula berucap ringkas dengan menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada kedua-dua orang JU kerana telah sudi mengendalikan kursus tersebut. Sebagai penghargaan kepada kdua-dua JU, Cik Lilian telah mempersilakan En Henry J dari SK Temong untuk menyampaikan cenderahati kepada kedua-dua orang Jurulatih Utama. Setelah penyampaian cenderahati, peserta-peserta pun bersurai dan pulang ke rumah masing-masing.

Secara keseluruhannya, kursus tersebut telah berjaya meningkatkan pemahaman guru-guru sains sekolah rendah daerah Serian tentang kepentingan soalan-soalan KBAT bagi meransang minat murid terhadap sesuatu topik sains yang ingin diajar. Guru-guru juga dapat mengenalpasti KPS dan KMS yang terlibat sewaktu menjalankan aktiviti-aktiviti sains. Mereka juga membezakan antara keempat-empat jenis inkuiri iaitu inkuiri berstruktur, inkuiri berpandu, inkuiri pengesahan dan inkuiri terbuka. Pihak UPA PPD Serian mengharapkan agar segala input yang diterima semasa berkursus dapat diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran sains di sekolah masing-masing.

Gambar-gambar semasa berkursus